Sabtu, 8 November 2014

PENSYARAH ARAH PELAJAR WANITA 'LONDEH' PURDAH


Kontroversi yang menyelubungi wanita Islam yang bertudung di Perancis kembali selepas seorang mahasiswi diarah membuka purdahnya sewaktu sesi pengajian berlangsung di Universiti La Sorbonne.

“Adakah anda merancang untuk memakai 'benda itu' sepanjang kelas saya?” soal pensyarah geografi kepada pelajarnya, lapor akhbar Perancis, Le Monde.

Bagaimanapun, nama pensyarah dan mahasiswi berkenaan tidak didedahkan kepada umum.

"Saya di sini sedang membantu anda mengintegrasikan diri ke dalam kehidupan profesional dan 'benda itu' (purdah) akan menyebabkan anda bermasalah," tambah pensyarah itu.

Apabila mahasiswi itu enggan membuka tudungnya, pensyarah itu dilaporkan telah meminta wanita itu 'pergi ke kelas yang lain'.

Pada 2004, kerajaan Perancis menguatkuasakan undang-undang yang melarang memakai atau paparan simbol agama secara terbuka di sekolah-sekolah Perancis, tetapi ia tidak dikuatkuasa di universiti.

Dan pada 2010, satu undang-undang larangan mengenakan niqab atau burqa (tudung yang menutup keseluruhan wajah seorang Muslim) telah dikuatkuasakan di negara itu.

Undang-undang tersebut melarang pemakaian niqab atau burqa dihadapan umum, namun ia tidak termasuk tudung yang dipakai oleh seorang Muslimah bagi menjaga auratnya.

Perancis berpendapat, larangan tersebut yang telah diluluskan oleh Majlis Perlembagaan perlu digunapakai untuk melindungi budaya sekular negara dan beberapa peraturan lain antara agama dan negara.

Baru-baru ini sebuah agensi kerajaan Perancis mencadangkan pengharaman pemakaian hijab atau tudung bagi wanita Muslim di universiti di negara tersebut.


Insiden luar jangkaan

Tenaga pengajar atau profesor universiti Perancis pada kebiasaannya mengamalkan sikap keterbukaan dan tolak ansur dan Perancis pula difahamkan sebagai sebuah negara bebas.

Insiden pengharaman pemakaian purdah oleh pelajar Muslim seolah menunjukkan rasa tidak hormat ke atas pelajar dan agama Islam itu sendiri.

Jean-Marie Salamito, profesor sejarah Kristian purba di Université Paris-Sorbonne 1, memberitahu Al Arabiya, ia insiden 'sangat jarang berlaku'.

Menurut Salamito, sikap tersebut menunjukkan peningkatan terhadap fahaman Islamophobia dalam sistem pendidikan Perancis.


Mohon Maaf

Ekoran kemarahan pelbagai pihak yang wujud akibat sebuah insiden di La Sorbonne, Presiden Universiti, Philippe Boutry tampil memohon maaf kepada pelajar pada minggu ini, lapor media barat, Le Monde.

Dalam surat permohonan maaf beliau, Boutry menyatakan kejadian itu adalah disebabkan salah faham pensyarah tersebut terhadap undang-undang pada 2004.

Bagaimanapun pelajar tersebut sebaliknya menuntut supaya pensyarah tersebut dikenakan tindakan tatatertib bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Insiden tersebut bukanlah yang pertama berlaku di Perancis, malah perbincangan mengenai pakaian Muslim dalam integrasi individu dalam masyarakat Perancis merupakan satu kelaziman biasa bagi para profesor untuk membincangkannya di dalam kelas.

Menurut Salamito lagi, hanya hijab jenis burqa sahaja yang mungkin bermasalah kerana profesor tidak dapat melihat wajah pelajar yang sedang berkomunikasi dengan mereka.

“Tudung sepatutnya tidak menjadi masalah. Ia adalah komunikasi biasa,” jelasnya.

Leila al-Hakim, seorang pelajar Muslim di La Sorbonne, melahirkan rasa terkejut berhubung kejadian yang menimpa.

Menurutnya, kakitangan universiti mesti menghormati pelajar tidak kira asal atau agama mereka.

Kata al-Hakim lagi, kejadian itu mencerminkan ketidaksamaan yang berterusan di antara Islam dan pelajar-pelajar lain di universiti.

Perancis adalah salah sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di Eropah Barat.

Sumber Dari UtaraNews.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...