Memaparkan catatan dengan label BACHOK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BACHOK. Papar semua catatan

Sabtu, 14 April 2018

Kanak- kanak sakit paru- paru kronik perlu bantuan kos susu dan lampin

Ahli Kelss mendukung Amni sambil diperhatikan ibunya, Norhayati (kanan)  yang turut menerima sumbangan daripada Kelss.

BACHOK – Sebuah keluarga terhimpit oleh desakan keperluan untuk penjagaan anak sulungnya yang menghidap sakit paru- paru kronik sejak lahir.

Nur Amni Fatini Mohd Saiful,2, hanya mempunyai berat badan 4.5 kilogram apabila dia tidak dapat menikmati makan dan minum seperti kanak- kanak lain berikutan penyakit yang dihidapinya itu.

Ibunya, Norhayati Abdullah,24, berkata, anaknya itu lemas dalam kandungan ketika proses bersalin yang menyebabkan komplikasi kesihatan sehingga kini.

“Setiap bulan kami perlu berulang- alik ke hospital Raja Perempuan Zainab II dan bila balik ke rumah kami perlu kami perlu sediakan sendiri susu khas untuk Amni yang bernilai sekurang- kurangnya RM170 setin. Susu ini diperlukan tiga tin sebulan. Itu belum termasuk beberapa peralatan lain yang diperlukan dan kos kami ulang- alik ke hospital.

“Kalau di hospital tak apalah kerana pihak hospital sediakan. Kerana perlu menjaga anak sejak lahir, saya juga terpaksa berhenti kerja di sebuah pasaraya. Suami saya, Mohd Saiful Asri Azmi,25, pula bekerja buruh dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM300 sebulan kerana perlu menghantar dan menemani kami ke hospital. Jadi dia tak masuk kerja penuh dan dapat gaji pun sikit sahaja,” katanya kepada Sinar Harian ketika diziarahi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu di Kampung Merabang, dekat sini.

Norhayati berkata, walaupun dia menerima bantuan bulanan daripada agensi berkaitan namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan anaknya.

Kini sejak pulang ke rumah Februari lalu, Amni perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan alat penyedut kahak yang dipinjamkan oleh pihak hospital untuk memudahkan dia bernafas.

Katanya, akibat masalah kesihatan itu, Amni juga sukar untuk tidur dan mudah terkena jangkitan kuman.

“Pernah suhu badannya mencecah 40 darjah celsius kerana demam dan ada kuman dalam darahnya. “Dahulu mata Amni tak nampak tetapi kini dia boleh melihat sedikit berbanding dahulu,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun bank BSN 03009- 41-00001949- 1 di atas nama Norhayati Abdullah.


Sumber
Sinar Harian

Isnin, 5 Februari 2018

Cabaran Tahfiz Cilik

Bukan mudah untuk menjadi seorang hafiz yang perlu menjaga tertib pelbagai perkara termasuk perilaku dan pemakanan.
Namun, disiplin sedemikian bukanlah sesuatu yang mudah diikuti oleh seorang anak yatim Kampung Sungai, Bachok yang sememangnya berminat untuk mendalami ilmu agama sejak di bangku sekolah rendah.

Masuk tahfiz usia 11 tahun.

Ahmad Arif Hanif Juhari,15, anak keempat daripada lima beradik ini tidak kekok untuk meninggalkan segala kelaziman hidup sebelum ini semata- mata untuk mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz Al- Hashimi, Kuala Krai.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk ini meninggalkan alam persekolahan aliran biasa untuk mengejar cita- citanya belajar agama ke Timur Tengah.
Walaupun ujian untuk memasuki tahfiz itu agak ketat dengan tiga siri ujian, namun dia dapat melepasinya dan kini sudah hafaz 28 juzuk al- Quran.

“Semua perkara perlu dijaga termasuk pergaulan dan pemakanan. Saya tak boleh makan sesuka hati di luar kerana makanan yang menjadi darah daging akan mempengaruhi hati dan minda kita.
“Kalau balik ke kampung pun tak lama iaitu tiga empat kali sahaja setahun tidak termasuk waktu ‘outing’ dua minggu sekali. ‘outing’ pula hanya sehari.

Saya akan balik ke kampung ketika ‘outing’ kalau rasa rindu sangat dengan mak. Tambahan pula mak tinggal sendirian sekarang selepas adik saya, Ahmad Hakim,13, juga belajar di maahad ini,”katanya.
Sering jadi imam tarawih dan solat berjemaah.
Menjelang Ramadan setiap tahun, Ahmad Arif adalah salah seorang pelajar yang menjadi rebutan untuk dipinjamkan sebagai imam di masjid- masjid seluruh negeri termasuk di Terengganu.

Difahamkan baru- baru ini dia pernah ditawarkan untuk bertugas di salah sebuah masjid di Kuala Besut untuk menjadi imam tarawih namun permintaan itu terpaksa ditolak oleh ustaznya memandangkan dia mempunyai banyak aktiviti di mahad tahfiz berkenaan.

“Saya tak kisah ditawarkan menjadi imam di mana- mana sahaja tetapi perlu melalui ustaz di maahad tahfiz kerana jadual kami agak padat dengan pelbagai aktiviti.
“Saya mula menjadi imam solat berjemaah sejak di sekolah rendah lagi ketika kelas fardhu ain.

Alhamdulillah setakat ini saya tidak ada masalah untuk kendalikan sebarang solat berjemaah. Kita perlu yakin dan tawakal kepada ALLAH S.W.T ketika menggalas tanggungjawab sebagai imam solat,”katanya yang kehilangan bapa sejak 11 tahun lalu.

Rebut peluang belajar ketika muda.
Berkongsi mengenai aktivitinya sebagai pengajar kelas al- Quran, Ahmad Arif berkata, usia muda sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk belajar al- Quran.
Katanya, apabila usia telah meningkat, keupayaan seseorang untuk mentelaah akan terbatas sama ada dari segi sebutan dan penglihatan.

“Alhamdulillah kini saya dah hafaz 28 juzuk. Di sini kami diajar pelbagai kemahiran berbeza. Jika saya azan, kawan- kawan lain akan iqamat, baca doa dan imamkan solat. Ia untuk membolehkan kami merasai sendiri pengalaman itu sebelum bersedia keluar menjadi imam solat.
“Selain itu, dalam kesibukan kami mentelaah pelajaran namun dalam masa yang sama kami juga terlibat dengan aktiviti lain seperti bersukan yang penting untuk kecergasan fizikal,”katanya.

Ibu sokong minat anak.

Manakala, ibunya, Aminah Mat,48, berkata, dia tidak pernah menyekat minat dua anaknya untuk mendalami ilmu agama dan meninggalkan sekolah aliran biasa.
Katanya, dia bertuah kerana di maahad tahfiz itu anaknya ditanggung sepenuhnya oleh pihak maahad termasuk pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran.

“Adakalanya kalau saya rindukan anak- anak, saya akan naik kereta sewa untuk ke Kuala Krai. Walaupun kami bukan orang senang tetapi saya tak kisah berhabis RM100 untuk bayar tambang ke sana demi melihat anak di depan mata.
“Saya bersyukur kerana mereka meminati ilmu agama dan sentiasa berdoa agar mereka berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air kelak,”katanya.

Untuk rekod, Ahmad Arif adalah rakan dan sekampung dengan pelajar tahfiz, Muhamad Rahman Rozali,17, yang meninggal dunia dalam trageri kemalangan tujuh tahfiz di Kuala Krai baru- baru ini. Beliau turut pulang mengiringi jenazah untuk disemadikan di tanah perkuburan Kampung Sungai.

Ahmad Arif juga pernah dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak 2015.

Ahmad Arif (kanan) ketika dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al- Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Ahmad Arif (depan) ketika mengimamkan solat hajat sebuah program di Gunung.

Isnin, 22 Januari 2018

Wanita Ditemui Terdampar di Pantai Irama



Pagi ini kita di kejutkan dengan berita penemuan sekujur tubuh wanita berusia 23 tahun yang terdampar di Pantai Irama, Bachok.

Gambar Wanita berkenaan yang masih berpakaian lengkap tular di media sosial bermula pagi tadi dan menimbulkan pelbagai spekulasi di di kalangan penguna media sosial.

Mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarga mangsa dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Bawa Isteri Pindah Untuk Elak Ganguan Penanggal

Kawasan perkampungan ini didakwa
 mempunyai gangguan penanggal 
yang tidak diberi makan oleh tuannya 
sejak akhir- akhir ini.


Cerita mengenai makhluk halus yang berkeliaran dalam dunia maju hari ini sewajarnya sudah tidak wujud sementelah umat Islam kini telah banyak berubah ke arah positif mengamalkan gaya hidup Islamik berbanding sebelum zaman merdeka.

Namun, hal itu seumpama hanya disembunyikan di sebalik pakaian moden sebaliknya masih ramai yang mempercayai dan mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik bersekongkol dengan iblis dan jin. Baru- baru ini cerita mengenai bebola api yang mengganggu penduduk di sebuah perkampungan menuju ke Tok Bali.

Ia cerita kali kedua selepas Sinar Harian mendengar cerita yang sama dimaklumkan seorang pemancing yang melihat bebola api itu di atas kubur Bachok.
Difahamkan, bebola berapi itu lazimnya adalah jelmaan makhluk halus yang digelarkan sebagai penanggal bagi negeri di semenanjung atau balan- balan di Sabah.

Man (bukan nama sebenar),30, pada mulanya juga enggan mempercayai kewujudan hantu dan jembalang di kampungnya sementelah dia tidak pernah bertembung sebarang gangguan ketika pulang lewat malam ke rumah ibunya.

Tidak bawa isteri hamil ke kampung. 

Man berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membawa pulang isterinya yang  baru beberapa bulan hamil anak sulung pulang ke kampungnya.
Ketika tidur, dia tersedar apabila melihat isterinya mengigau dan meracau.

“Puas saya kejutkan dia tetapi dia tak sedar. Sudahnya saya jirus air pada mukanya barulah dia sedar.
“Dia tak ceritakan apa yang berlaku sebaliknya hanya menceritakan apa yang berlaku selepas kami pulang ke rumah sewa di Kota Bharu.

Isteri kata ketika tidur dia didatangi makhluk penanggal yang mahu mengambil anak dalam kandungan. Memang di depan rumah kami nampak ada titis darah keesokan hari selepas apa yang menimpa isteri,”katanya kepada Sinar Harian.

Tidak diberi ‘makan’.

Man yang gusar mengenai perkara itu kemudian berkongsi apa yang menimpa isterinya dengan ibu saudaranya yang tinggal di kampung yang sama. Hal itu disahkan ibu saudaranya yang menyatakan penanggal itu mempunyai tuan namun tidak diberi ‘jamuan’.

“Ibu saudara saya sebelum ini sudah lima kali keguguran. Ibu saudara ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, namun saya tidak dapat dipastikan apakah ia juga mempunyai kaitan dengan penanggal berkenaan,”katanya. Kini, dia mengetahui penanggal itu mempunyai tuan dan pernah juga mengganggu penduduk kampung yang berbadan lemah dan tidak sihat.

Katanya, seorang warga emas penghidap kencing manis, darah tinggi dan pelbagai penyakit lain juga pernah diganggu makhluk itu.
Ia datang pada waktu malam mengetuk dinding dan memanggil nama wanita berkenaan dari luar rumah.

Makhluk halus itu wujud.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan komen daripada Imam Masjid Naim Jelawat, Mohd Kamil Abdul Hamid mengenai kewujudan makhluk ghaib yang dikatakan masih berkait rapat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Beliau berkata, makhluk halus dan sihir itu telah lama wujud sejak zaman nabi dahulu kala dan ada nabi yang pernah disihir oleh kaum musyrikin. Menurutnya, perkara itu terjadi apabila mereka bersahabat dengan iblis dan jin.

“Namun dengan izin ALLAH S.W.T perkara itu terjadi. Kalau ALLAH S.W.T tak izinkan ia tak kan terjadi juga walau apa pun yang dilakukan.
“Di sini pun ada juga benda yang dijumpai ketika orang kampung membersihkan tanah perkuburan berdekatan.
Anak patung ini ditemui penduduk 
kampung di sebuah tanah 
perkuburan ketika bergotong- royong 
membersihkan kubur di sebuah 
kampung di Jelawat baru- baru ini.

Penduduk yang jumpa benda itu bawa tunjuk kepada saya. Ada anak patung yang dibalut kain hitam, dicucuk jarum di dada. Tangan dan kakinya diikat. Ada gambar diikat bersama patung itu tetapi gambar itu sudah tidak jelas,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau percaya, patung itu dibuat menggunakan ilmu hitam untuk santau seseorang dan gambar yang terdapat pada anak patung itu mungkin gambar seseorang yang ingin ditujukan perbuatan sihir itu. Perlu hati- hati dalam kehidupan seharian.

Mohd Kamil berkata, ia membuktikan dalam dunia hari ini masih ada yang menuntut ilmu sihir sedemikian dan bersekongkol dengan iblis.
“Dulu kita dengar santau dibuat menggunakan tanah kubur sekarang mereka buat pakai patung pula. Kita perlu berhati- hati dalam persekitaran hari ini.

Ada orang dengki kerana kerjaya kita, ada orang dengki dengan kedudukan kita, semuanya tak mustahil.
“Namun dalam masa yang sama kita tak boleh leka dan boleh ambil langkah pencegahan melalui bacaan doa harian dan ayat- ayat rukyah.

Contohnya amalan membaca ayat kursi, dua ayat terakhir surah al- Baqarah serta membaca bismillah setiap kali masuk rumah, naik kereta dan sebagainya agar tidak dituruti oleh makhluk halus. Namun, perkara begini lazimnya dipandang remeh oleh ramai orang sebagai pendinding diri,”katanya.

Sabtu, 20 Januari 2018

JIN SURUH AMBIL DADAH


Rupa jin yang sering datang 
dalam fikiran Mat

Orangnya dilihat sederhana, berkopiah putih, memakai seluar jeans dan berjaket. Siapa sangka jejaka yang dilihat normal itu sebenarnya sudah lama bergelut dengan penagihan dadah.
Mat (bukan nama sebenar),berusia 28 tahun berasal dari sebuah kampung berdekatan Jelawat adalah anak keempat daripada lapan beradik.

Mengetahui mengenai susur galur keluarganya, dia bukan orang susah, malah sudah banyak wang dihabiskan ibu bapanya untuk mengubati Mat sejak beberapa tahun lalu, namun lazimnya ia hanya bertahan seketika sahaja sebelum Mat kembali menagih.

Ada jin suruh ambil dadah.

Mat berkata, dia mula terlibat dengan gejala dadah pada usia 14 tahun dan sehingga kini dia masih gagal mengatasi masalah ketagihan itu berikutan dakwaan ada ‘jin’ yang mengarahkannya untuk terus menagih dadah.

Mat berkata, dia pernah merantau sehingga ke Kuantan, Pahang untuk bekerja namun kerja yang dilakukannya itu hanya separuh jalan apabila dia gagal mengawal kemahuan terhadap dadah.

“Dulu saya pernah kerja bahagian baiki barangan elektrik di Kuantan namun satu ketika kepala saya ‘jammed’, saya jadi ‘blank’ tak boleh kerja dan ambil dadah semula.
“Lepas tu saya balik rumah dan keluarga bawa saya berubat. Saya tak boleh kawal kemahuan terhadap dadah.

Saya nampak ada jin yang suruh saya ambil dadah. Kalau saya tak ambil dadah, kepala saya jadi tak betul. Lepas berubat saya pulih seketika namun bisikan jin itu datang lagi. Dia kata kalau saya ambil dadah saya akan kembali sihat,”katanya ketika ditemui di Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok.

Nampak jin dalam fikiran.

Mat berkata, dia hanya mendapat pendidikan setakat tingkatan dua di sebuah sekolah di Pengkalan Chepa dan di situlah dia mula ponteng kelas dan masuk hutan untuk menghisap rokok.

Dia juga pernah dihantar ke sebuah pondok di Tunjung seketika sebelum keluar dan ketagih dadah semula.
“Mak ada beri minum air bacaan yasin dan ayat suci al- Quran dan ia mengurang sedikit ketagihan saya. Namun, bisikan seperti itu juga akan muncul ketika saya sedang bertasbih, sedang solat dan ketika berbual- bual.

“Ada ketikanya ia munculkan makhluk besar dengan wajah berbulu hitam seperti beruk besar tetapi saya tak takut. Kalau saya hisap dadah dia tak ganggu, tetapi kalau saya solat dan berzikir ia akan ganggu, dalam mimpi pun ada sehingga saya sering terkejut dalam tidur,”katanya yang telah mengambil pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan pil kuda.

Mat mendakwa, hasil pertemuan dengan bomoh mengatakan syaitan dan dalam hatinya sudah tiada tetapi masih ada di dalam fikirannya.
Dia mendakwa, bomoh mengatakan jin itu terlalu ramai dan hanya sebahagian sahaja yang dapat dikawalnya.

“Saya solat lima waktu tetapi ada kalanya kalau saya tak dapat kawal diri, jin akan paksa saya mengamuk tendang pintu, tumbuk mesin basuh dan bila dengar orang bercakap pun saya rasa nak marah.
“Saya tak boleh bunyi bising atau pelik- pelik nanti saya terkejut dan ia membuatkan jin itu mengamuk,” katanya.

Rujuk pakar psikiatri.

Mat berkata, kini dia juga lebih sudah setahun dirujuk ke pakar psikiatri di hospital Kota Bharu.
“Orang kata ‘benda’ tu tak boleh dihambat tetapi kena selalu baca ayat suci al -Quran. Malangnya saya hanya tahu baca sampai ‘kulya’ (surah al- kafirun) sahaja. Nak menghafal al- Quran pun susah bila macam ni.

“Saya pun kena ambil ubat setiap hari dan saya ingat dah tak mahu lagi terlibat dengan dadah ni. Saya jarang ke masjid sebab takut ganggu orang dan tak sihat sangat. Muka saya rasa sakit macam ditarik, kadang- kadang sakit usus, sering sawan dan lenguh badan.

Saya cuba cari kudrat macam dulu untuk pulih,”katanya yang pernah ditangkap polis pada 2015 dan kes mencuri di sebuah restoran di Pasir Mas.Hajat mahu bekerja, beli kereta dan kahwin.

Bercakap mengenai matlamat masa depannya Mat berharap dia akan pulih sepenuhnya dan ingin bekerja untuk mencari pendapatan sendiri sebelum membeli kereta dan mendirikan rumahtangga.
“Banyak benda yang saya dah tertinggal, dah lama saya tak puasa sebab tak boleh tinggal rokok dan dadah.

Saya harap sangat dapat hafal al- Quran dan bantu ibu bapa.
“Jadi saya juga harap remaja di luar sana tak cuba dadah apa lagi merokok. Semua itu tak bermanfaat dan merosakkan masa depan,”ujarnya.

Dadah jadikan halusinasi.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan AADK Bachok, Hazyatulnur Mohd Razali berkata, dadah menjadikan seseorang penagih berhalusinasi akibat kerosakan saraf otak.
“Ramai yang jadi begini tetapi dia (Mat) mudah beri kerjasama. Dia pernah ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.

“Dia tak pernah marah atau mengamuk ketika ditangkap. Ini adalah salah satu kes yang kami selia. Ada kes yang lebih teruk sampai nak bakar rumah di Kampung Merabang. Ada pula yang perempuan sampai kena Aids, ini semua kerana dadah,”katanya.

Justeru, Hazyatulnur berkata, ibu bapa dan masyarakat perlu memberi kerjasama penuh kepada AADK untuk menahan penagih dadah bagi dihantar untuk rawatan dan pemulihan dalam usaha menghapuskan dadah di daerah ini.

Mat tidak kekok memberikan kerjasama kepada Hazyatulnur dan kakitangan AADK Bachok yang lain.

Rabu, 3 Januari 2018

KELUARGA MALU GAMBAR ANAK TULAR


Setelah isu kanak-kanak perempuan yang berpakaian lusuh pada hari pertama persekolahan tular, banyak pihak telah memandang serius isu ini dan cuba untuk membantu. Tak kurang juga dengan ramai pihak yang mengecam dan menyalahkan banyak pihak dalam isu ini.

Hari ini keluarga ini telah dikunjungi oleh pelbagai agensi atas rasa tangungjawab untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah sebenar yang dihadapi oleh keluarga adik Natasya.. 

Oleh kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan gambar adik Natasya, keluarga mengakui malu berdepan dengan masyarakat. Kerana gambar anaknya telah tersebar ke seluruh negara.  

Bachok - Keluarga murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak yang menjadi mangsa tular kononnya memakai pakaian dan kasut buruk pada hari pertama persekolahan, malu dengan penularan berita berkenan.

Mazawati Ismail,42, berkata, dia hanya mengetahui mengenai gambar anaknya, Nadia Natasha Ibrahim,12, ditularkan selepas didatangi seorang guru sekolah anaknya petang kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini seorang lelaki menghubunginya dan memaklumkan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga mereka.
“Ada seorang lelaki datang beberapa hari lalu cakap nak beri bantuan, saya tak tahu dia akan sebarkan cerita mengenai keluarga kami begini. 

Memang kami agak susah, saya kerja mencari daun nipah untuk dibuat daun rokok dan adakalanya mencari tiram jika tak hujan. Namun kami tak pernah minta kisah keluarga disebar begini, kami malu.

“Akibatnya anak saya pun malu untuk ke sekolah hari ini. Kami bukan tak ada duit cuma belum berkesempatan untuk ke kedai beli kasut. Saya dah ajak dia ke kedai tetapi dia tak mahu. 

Jadi hari tu saya hanya beli untuk yang adiknya Che Akma Arini,8, sahaja. Untuk dia kena tunggu kakak dia bawa ke kedai dalam masa terdekat ini,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sador.

Kisah daif Nadia Natasha ini ditularkan seorang lelaki dalam laman sosial ‘facebook’ kelmarin termasuk dalam kumpulan ‘whats app’ dan menjadi bualan hangat netizen.

Ia membuatkan pelbagai agensi hadir untuk melihat sendiri keadaan keluarga ini yang dikatakan amat daif dan tinggal di rumah yang dibina di atas rizab tanah perkuburan.
Nadia adalah anak keenam daripada lapan beradik. 

Bapanya, Ibrahim Donik,64, bekerja mengambil upah menjaga ternakan biri- biri dengan pendapatan kira- kira RM500 sebulan.
Nadia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bapanya turut menerima bantuan RM300 sebulan.

Selain dua anaknya yang bersekolah, anak bongsu pasangan ini, Aiman Zakwan,5, menghidap penyakit asma sejak berusia tiga bulan dan perlu bergantung dengan ubat.

 Manakala, Guru Besar SK Pantai Senak, Mohd Daud Salleh berkata, tiada isu mengenai murid berkenaan diabaikan kerana dia adalah penerima tetap pelbagai bantuan sama ada dari pihak sekolah dan JKM.

“Murid ini adalah tersenarai dalam penerima pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rangkaian Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan zakat setiap kali musim perayaan,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Dun Tawang, Mohd Azman Mohd Noor berkata, pihaknya terkejut dengan kisah yang ditularkan itu dan hadir ke kediaman keluarga itu untuk lihat sendiri keadaan mereka.

“Hari ini kita lihat ramai yang datang ziarah keluarga adik Nadia Nastasya termasuk agensi kerajaan pun datang seperti Pejabat Pendidikan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), NGO, dan saya mewakili Amanah Kelantan dapat lihat kehidupan mereka ini amat daif.
“Dengan tersebarnya berita ini kita harapkan sesiapa yang ingin bantu boleh sama- sama berganding bahu hulurkan bantuan. 

Kerajaan perlu ambil perhatian mengenai keluarga ini agar dapat kehidupan lebih baik. Mungkin MAIK boleh iktiar tanah rizab kubur ini untuk kediaman tetap mereka,”katanya ketika menziarahi keluarga berkenaan semalam.

Ibrahim (kanan), Mazawati (tengah) dan anaknya, Nadia Natasha (kiri) malu dan sedih apabila kisah keluarganya ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial sejak kelmarin.

Mazawati membuat daun rokok untuk menyara keluarganya apabila tidak dapat turun ke sungai mencari tiram ketika musim hujan.

Keadaan rumah keluarga Nadia Natasha yang dibina di atas rizab tanah perkuburan Kampung Sador.
Nadia menunjukkan kasut buruknya yang ditularkan dalam laman sosial kelmarin.

TULAR : PELAJAR BERKASuT BURUK LUSUH PADA HARI PERTAMA SEKOLAH

Baru baru ini media sosial dibanjiri dengan dengan gam seorang kanak2 yang memakai kasut buruk dan baju lusuh pada hari pertama persekolahan. Berita ini mendapat perhatian nitizen yang bersimpati terhadap kesusahan adik ini. 

Ini antara cerita awal yang berlegar di lama sosial. 


Demi mendapatkan ilmu' - Kisah Adik Natasha pakai kasut buruk dan lusuh di hari pertama persekolahan buat netizen rasa sebak
Sayu rasa hati memandang wajah kanak-kanak perempuan ini. Bertambah sayu apabila memandang kasut sekolah yang koyak dan lusuh itu, namun dipakainya jua di hari pertama persekolahan. 
Nadia Natasha (OKU), dari lapan adik beradik ini bukan berasal dari keluarga senang. Hidup serba kekurangan dan keluarganya bergantung harap pada ibu mereka yang pendapatan juga tidak menentu. 
Bantulah adik ini, tak kiralah bantuan kewangan ataupun barangan. Asalkan dapat meringankan bebanan dan mengukir sedikit senyuman di wajah mereka. 
BERKENAAN kes adik Nadia Natasha yang memakai kasut buruk dan lusuh pada hari pertama persekolahan. Kisahnya meruntun hati kita semua. 
Adik Natasha berasal dari keluarga yang miskin. 
Ayahnya hanya mengambil upah menjaga ternakan orang. Ibunya pula bekerja sebagai pemungut tiram. Itulah yang paling termampu dilakukan oleh ayah dan ibu adik Natasha. 


Disebabkan cuaca tidak menentu, ibunya sekarang hanya keluar mencari daun nipah muda. Daun tersebut dijadikan rokok daun dan dijual kepada peraih tempatan. 
Dengan pendapatan sekecil itu, kehidupan adik Natasha sekeluarga agak tersepit. Apa yang mereka mampu hanyalah sekadar cukup-cukup makan sahaja. 

Seperti yang dimaklumkan, adik Natasha mempunyai lapan orang adik-beradik dan dia merupakan anak yang keenam. Hanya adik Natasha dan adiknya yang ketujuh sahaja mampu bersekolah. Yang lainnya tidak kerana keadaan mereka sekeluarga yang begitu kekurangan. 

Tekanan hidup dan kemiskinan menyebabkan adik beradiknya yang lain terpaksa berhenti sekolah awal. Ayahnya yang sudah tua dan mencecah umur 64 tahun, apalah sangat saki baki kudrat yang mampu diperah lagi. Kewangan keluarga adik Natasha semuanya bergantung di bahu ibunya. 

Keluarga adik Natasha menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Adik Natasha yang memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan sebanyak RM1,800 setahun. Semuanya dibelanjakan untuk menampung kos sara hidup mereka sekeluarga. 

Ayah dan ibu adik Natasha juga terpaksa menampung kos rawatan adik bongsunya yang menghidap asma (lelah). Mereka berlindung di rumah usang tanpa perabot dan kemudahan lain. Keadaan ini menjadikan kehidupan mereka begitu daif. 

Mereka sekeluarga juga tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk digunakan. Adik Natasha ke sekolah hanya berjalan kaki sejauh dua kilometer ditemani adiknya yang turut bersekolah di sekolah yang sama. Tidak hairanlah kasut adik Natasha dalam keadaan sedemikian. Allahu. 

Begitulah sedikit kisah tentang adik Natasha dan kasut buruknya. Adik Natasha hanya mampu memakai pakaian sekolah lusuh dan kasut koyak demi mendapatkan ilmu seperti kanak-kanak lain. 

Sama-samalah kita membantu keluarga adik Natasha dengan semampu yang kita ada. Alamat kediaman mereka:

Kampung Sador Tawang,
16020 Bachok, Kelantan

Nombor Akaun Bank Islam: 03018021439897
(Ibrahim bin Donik)

Nombor Telefon: 011-17911472
(Mazilawati)

Sedih masa mula-mula tahu tentang kisah adik Natasha. Kasihan melihat muka dia. Lagi sedih bila melihat keadaan kasut sekolahnya. Cukup-cukup sedih. Semoga mendapat perhatian yang sewajarnya. Ayuh adik Natasha, kuatkan semangatmu! 

Semoga mendapat perhatian semua. 

Sumber The Reporter

Ahad, 29 Oktober 2017

Pukat Tarik- Rezeki Tambahan Utk Penduduk Pesisir Pantai

Bermula awal Mei hingga Oktober, angin sepoi-sepoi mendinginkan suasana, kelazimannya waktu inilah penduduk pesisir pantai akan mula berkumpul di pantai bagi menarik pukat beramai- ramai, sama ada di sebelah pagi atau petang.
Bukan sahaja nelayan, malahan penduduk pelbagai latarbelakang juga tidak ketinggalan untuk turut serta berganding bahu membantu menarik pukat.

Bantu rakan tarik pukat.

Bagi seorang pekerja swasta, Hashim Sidek,53, berkata, dia hanya membantu rakan- rakannya menarik pukat petang semalam selepas melihat mereka menarik pukat.
“Seronok melihat ikan yang banyak berada di pesisir pantai ini. Saya hanya bantu rakan- rakan yang ada pukat ini. Semalam pun nampak dah ada orang yang tarik pukat di sini.
“Biasanya musim ikan dapat ditangkap di pesisir begini bermula dari Mei hingga November iaitu ketika air tenang,”katanya yang tinggal di Kampung Limau Nipis, dekat sini.
Hashim berkata, mereka akan bawa pukat sendiri untuk tangkap ikan dan ia juga boleh dikendalikan sendirian namun kerja menarik pukat secara beramai- ramai akan lebih mudah dan cepat.

Hobi waktu petang.

Manakala, bagi Mohd Razmi Salleh,58, aktiviti menarik pukat itu hanyalah sebagai hobi di waktu petang sahaja.
Menurutnya, antara ikan yang diperolehi di tepi pantai bersaiz lebih kecil namun pelbagai jenis seperti cencaru, kembung, selayang dan selar kuning.
“Petang ini ada dapat ikan kembung, semalam ada juga ikan cencaru. Kami tarik pukat ini sebagai hobi waktu petang sahaja.
“Biasanya orang yang tinggal 1 kilometer dari pantai akan tahu aktiviti musim ini untuk tangkap ikan pesisir laut,”katanya yang turut dibantu anak, Mohd Izaidi,27, dan Mohd Izudin,15.

Ikut bapa isi masa lapang.
Bagi Mohd Izaidi pula, hobi bapanya itu membawa banyak manfaat di samping untuk mengisi masa lapang mereka pada waktu petang.
“Bukan selalu kami boleh tarik pukat begini kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca dan waktu luang kami.
“Ia juga bergantung kepada musim ikan yang terdapat di pesisir pantai. Ayah bukan niat nak jual pun tetapi untuk makan kami sahaja. Kalau ada orang nak beli ayah tak tetapkan harga tetapi ikut ikhlas orang beri sahaja dan biasanya memang murahlah,”katanya.
Aktiviti menarik pukat ini bukan sahaja dilakukan di sekitar kawasan Telong malah minggu lalu pengunjung Pantai Irama juga memperoleh rezeki yang sama.

Kanak- kanak turut bantu bapa.
Selain golongan dewasa, dari kejauhan terlihat dua kanak- kanak asyik mengutip ikan untuk dimasukkan ke dalam jaring dan kemudian membawa ikan- ikan itu untuk dibasuh sebelum dijual kepada orang ramai.
Muhammad Zulhilmi Mohd Adnin,8,berkata, dia hanya membantu bapanya mengutip ikan pada hujung minggu.
“Saya dah biasa macam ni bantu bapa. Memang adakalanya banyak ikan dan orang ramai yang kebetulan ada di sini pun minta untuk beli ikan. Saya kutip dan basuh dulu ikan sebelum diberikan kepada pembeli.
“Kadang- kadang ada juga rakan- rakan lain datang tengok di sini dan mereka pun gembira dapat tolong kutip ikan ini,”kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua ini.

Rezeki niat sedekah berjaya tarik sekawan ikan.
Sementara itu, baru- baru ini di pesisir Pantai Irama, sekumpulan sahabat menerima habuan besar apabila beratus kilogram ikan tamban nipis berjaya dinaikkan mereka.
Nik Zukrie Nik Omar,37, berkata, sudah menjadi kelaziman mereka yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk menarik pukat bagi mengisi masa lapang hujung minggu.
Sebelum melabuhkan pukat hari itu, rakannya, M
​​
ohd Zawawi Alias,26, telah memasang niat untuk sedekahkan ikan kepada pengunjung sebelum turun ke laut.
“Rakan kami, Mohd Zawawi telah berniat untuk sedekahkan ikan kepada orang ramai jika dapat banyak. Alhamdulillah ianya dimakbulkan  dan kami dapat mungkin lebih 500 kilogram ikan tamban nipis atau ada sesetengah orang panggil ikan belalak mata.
“Kami tak tahu sebenarnya berjaya tangkap sekawan ikan. Untuk likung pukat tarik ini dua rakan turun dalam air separas dada ke sebelah kiri dan dua orang ke sebelah kanan. Bila dah separuh jalan tarik barulah kami sedar ia semakin berat dan kami minta tolong orang ramai untuk tarik sama. Inilah kali pertama kami dapat ikan sebanyak ini bila tarik pukat dan kami ambil sedikit sahaja selebihnya kami sedekahkan kepada orang ramai di situ,”katanya yang sudah tujuh tahun menarik pukat di situ setiap hujung minggu.
Selain Nik Zukrie dan Mohd Zawawi rakan- rakannya yang turut serta menarik pukat ialah Mohd Sabri Makhtar, Aminuddien Ismail dan Nasaruddin Mohd Nazri.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Bachok turut serta meninjau hasil tangkapan rakan mereka berdekatan menara tinjau APM di Pantai Irama.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan daripada Muhammad Zulhilmi dan bapanya.

Hashim Sidek (kanan) membantu rakannya menaikkan pukat tarik di pantai Kampung Aur.​

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengutip ikan yang dinaikkan sekumpulan sahabat di Pantai Irama, baru- baru ini.
Muhammad Zulhilmi membersihkan ikan dari pasir pantai bersama rakannya.​

Isnin, 26 September 2016

Maut Ketika Cuba Selamatkan Kucing

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok memeriksa nadi mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

BACHOK – Seorang wanita peniaga kedai makan berdekatan simpang Y Kampung Teluk dekat sini maut selepas dilanggar ketika cuba menyelamatkan anak kucingnya di tengah jalan kira- kira jam 8.50 malam kelmarin.

Menurut saksi yang enggan dikenali, wanita berusia sekitar 50-an itu dikatakan dilanggar sebuah pacuan empat roda berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran negeri Johor.

Mangsa, Nik Yam Nik Lah,53, beralamat di Kota Bharu adalah seorang peniaga kedai makan di simpang tiga Y di Kampung Teluk sejak dua bulan lalu.

“Masa tu pacuan empat roda itu cuba memotong kereta saya di selekoh simpang Y dan ketika itulah dia melanggar mangsa. Saya berhentikan kereta di tepi dan lihat seorang wanita terbaring di tengah jalan.

“Pacuan empat roda itu terus melarikan di masuk ke arah perumahan kos rendah di lorong berdekatan. Nombor plat yang patah di jumpai di kawasan itu rasanya bukan milik pacuan empat roda itu sebab nombor itu bukan plat Johor,”katanya.

Manakala, seorang penduduk pula berkata, anak mangsa memaklumkan ibunya tergesa- gesa melintas jalan kerana ingin mengambil anak kucing mereka yang berada di tengah jalan.

Mangsa dikatakan ibu tunggal menyewa di situ sejak dua bulan lalu bersama dua anak lelakinya yang berusia sekitar 7 hingga 10 tahun.

“Makcik tak pula tanya nama dia apa tetapi selalu juga singgah beli nasi pagi di situ. Malam tadi lepas turun madrasah depan tu, makcik terdengar bunyi dentuman kuat dan orang menjerit.

“Makcik terus datang sini tengok mangsa dah terbaring tengah jalan. Dia bukan orang sini katanya orang Kandis. Hari ini dia tak berniaga sebab katanya tak sihat. Tak sangka pula jadi macam ni,”katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kes berkenaan.

Beliau berkata, pemandu kenderaan Isuzu D- max itu sudah membuat laporan di balai polis jam 1 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Anak kucing yang dikatakan cuba diselamatkan Nik Yam namun berakhir dengan tragedi maut.

Sumber : Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 

Selasa, 20 September 2016

Dengar Bisikan Halus Sebelum Lemas Di Pantai Irama


BACHOK – Mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas petang kelmarin memaklumkan dia terdengar bisikan halus beberapa saat sebelum kejadian itu berlaku.

Mohd Faisal Mohd Noor,38,berkata, dia pada awalnya mandi seperti biasa bersama anak- anak buahnya yang lain sebelum terdengar bisikan tersebut.

Kejadian itu meragut nyawa anak sepupunya, Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16, yang baharu sahaja ditemui jam 5.38 pagi semalam.

“Masa tu kami tengah mandi ramai- ramai dan tiba- tiba kami rasa tertarik. Masa tu jugalah saya jelas dengar bisikan yang cakap ‘aku nok belako puok- puok mu’. Saya terkejut dan cuba jerit kepada anak- anak buah agar naik ke darat.

“Masa tu saya nampak Allahyarham Riz (Nik Muhammad Syahriezman) dah makin ke tengah. Saya cuba jerit minta tolong tetapi gagal. Saya buka baju untuk ringankan badan dan berenang ke arah dia tetapi saya juga makin lemah. Akhirnya saya menyerah dan apungkan diri seketika. Rasanya kalau saya terapung lebih 10 minit lagi mungkin saya pun tenggelam sama,”katanya ketika ditemui wakil Perantau Bachok, Mohd Nazri Ismail malam kelmarin.

Mohd Faisal akhirnya berjaya diselamatkan orang ramai yang menaiki jetski di kawasan tersebut, namun Nik Muhammad Syahriezman gagal diselamatkan.

Mayat Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16,ditemui ahli keluarganya ketika gerakan mencari bersama pasukan menyelamat yang dijalankan sejak malam kelmarin.



Ragut nyawa setiap tahun.

Manakala, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kawasan pantai sedemikian mungkin mempunyai semangatnya tersendiri dan sentiasa meragut nyawa setiap tahun.

“Memang biasa setiap tahun pun ada kes mati lemas di Pantai Irama ini. Biasanya melibatkan pengunjung luar yang tak biasa dengan kawasan ni.

“Tak mustahil kalau ada sesuatu yang mistik di kawasan itu sebab waktu pun dah lewat petang. Kalau nak kata sebab paloh biasanya musim ni dah tak ada paloh. Sebab biasanya paloh ni ada lepas musim tengkujuh sahaja,”katanya kepada Sinar Harian.

Paloh ialah kawasan lohong air yang berpusar menarik sesiapa sahaja ke kawasan itu yang akan menyebabkan mangsa tertarik ke dasar laut.

Paloh lazimnya seakan riak air yang tenang (sedangkan ia dalam dan berpusar) pada pesisir pantai dan keluasannya boleh menghampiri seluas bilik darjah.



Sudah ajalnya tiba.

Manakala, Imam Tua Masjid Mahmudi Bachok, Baharin Yusoff ketika diminta mengulas mengenai isu bisikan itu pula berkata, bisikan yang didengari mangsa itu hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahuinya.

“Benda begini kita tak tahu, tak nampak, tambahan pula masa tu dah dekat Maghrib banyak iblis yang berkeliaran. Pantai pula terdedah dengan pelbagai anasir luar yang pelik- pelik.

“Kita cuma boleh katakan sudah sampai ajalnya masa itu. Kalau ikut logik memang tak bolehlah mandi di kawasan itu yang sudah ada papan tanda yang diletakkan di situ. Perkara seperti ini perlu dijadikan teladan untuk semua pengunjung agar lebih berhati- hati, tidak menjadikan kunjungan santai sebagai tragedi,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.


Ayam golek dijumpai di pesisir pantai.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa penemuan ayam golek di pesisir Pantai Irama baru- baru ini, Imam Baharin berkata, perkara seperti itu sepatutnya sudah tidak berlaku.

“Inilah yang kita takutkan. Kita bimbang perkara pemujaan dan berkaitan iblis seperti itu mengundang perkara tidak baik. Kalau ia melibatkan orang muslim ia tidak sepatutnya berlaku. Tetapi kita tak nampak siapa yang buat macam tu, jadi kita anggapkan ia bukan dilakukan orang muslim,”katanya.


Pemimpin Bachok ucap takziah.

Sementara itu, beberapa pemimpin Bachok juga sempat singgah ke lokasi berkenaan malam kelmarin. Penyelaras Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Husain dan Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin masing- masing mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.


Ayam golek yang dipercayai untuk pemujaan ditemui di pesisir Pantai Irama, dimuat naik dalam laman sosial oleh pengunjung baru- baru ini.


Sumber dari Akhbar Sinar Harian
19 September 2016

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...