Isnin, 5 Februari 2018

Cabaran Tahfiz Cilik

Bukan mudah untuk menjadi seorang hafiz yang perlu menjaga tertib pelbagai perkara termasuk perilaku dan pemakanan.
Namun, disiplin sedemikian bukanlah sesuatu yang mudah diikuti oleh seorang anak yatim Kampung Sungai, Bachok yang sememangnya berminat untuk mendalami ilmu agama sejak di bangku sekolah rendah.

Masuk tahfiz usia 11 tahun.

Ahmad Arif Hanif Juhari,15, anak keempat daripada lima beradik ini tidak kekok untuk meninggalkan segala kelaziman hidup sebelum ini semata- mata untuk mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz Al- Hashimi, Kuala Krai.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk ini meninggalkan alam persekolahan aliran biasa untuk mengejar cita- citanya belajar agama ke Timur Tengah.
Walaupun ujian untuk memasuki tahfiz itu agak ketat dengan tiga siri ujian, namun dia dapat melepasinya dan kini sudah hafaz 28 juzuk al- Quran.

“Semua perkara perlu dijaga termasuk pergaulan dan pemakanan. Saya tak boleh makan sesuka hati di luar kerana makanan yang menjadi darah daging akan mempengaruhi hati dan minda kita.
“Kalau balik ke kampung pun tak lama iaitu tiga empat kali sahaja setahun tidak termasuk waktu ‘outing’ dua minggu sekali. ‘outing’ pula hanya sehari.

Saya akan balik ke kampung ketika ‘outing’ kalau rasa rindu sangat dengan mak. Tambahan pula mak tinggal sendirian sekarang selepas adik saya, Ahmad Hakim,13, juga belajar di maahad ini,”katanya.
Sering jadi imam tarawih dan solat berjemaah.
Menjelang Ramadan setiap tahun, Ahmad Arif adalah salah seorang pelajar yang menjadi rebutan untuk dipinjamkan sebagai imam di masjid- masjid seluruh negeri termasuk di Terengganu.

Difahamkan baru- baru ini dia pernah ditawarkan untuk bertugas di salah sebuah masjid di Kuala Besut untuk menjadi imam tarawih namun permintaan itu terpaksa ditolak oleh ustaznya memandangkan dia mempunyai banyak aktiviti di mahad tahfiz berkenaan.

“Saya tak kisah ditawarkan menjadi imam di mana- mana sahaja tetapi perlu melalui ustaz di maahad tahfiz kerana jadual kami agak padat dengan pelbagai aktiviti.
“Saya mula menjadi imam solat berjemaah sejak di sekolah rendah lagi ketika kelas fardhu ain.

Alhamdulillah setakat ini saya tidak ada masalah untuk kendalikan sebarang solat berjemaah. Kita perlu yakin dan tawakal kepada ALLAH S.W.T ketika menggalas tanggungjawab sebagai imam solat,”katanya yang kehilangan bapa sejak 11 tahun lalu.

Rebut peluang belajar ketika muda.
Berkongsi mengenai aktivitinya sebagai pengajar kelas al- Quran, Ahmad Arif berkata, usia muda sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk belajar al- Quran.
Katanya, apabila usia telah meningkat, keupayaan seseorang untuk mentelaah akan terbatas sama ada dari segi sebutan dan penglihatan.

“Alhamdulillah kini saya dah hafaz 28 juzuk. Di sini kami diajar pelbagai kemahiran berbeza. Jika saya azan, kawan- kawan lain akan iqamat, baca doa dan imamkan solat. Ia untuk membolehkan kami merasai sendiri pengalaman itu sebelum bersedia keluar menjadi imam solat.
“Selain itu, dalam kesibukan kami mentelaah pelajaran namun dalam masa yang sama kami juga terlibat dengan aktiviti lain seperti bersukan yang penting untuk kecergasan fizikal,”katanya.

Ibu sokong minat anak.

Manakala, ibunya, Aminah Mat,48, berkata, dia tidak pernah menyekat minat dua anaknya untuk mendalami ilmu agama dan meninggalkan sekolah aliran biasa.
Katanya, dia bertuah kerana di maahad tahfiz itu anaknya ditanggung sepenuhnya oleh pihak maahad termasuk pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran.

“Adakalanya kalau saya rindukan anak- anak, saya akan naik kereta sewa untuk ke Kuala Krai. Walaupun kami bukan orang senang tetapi saya tak kisah berhabis RM100 untuk bayar tambang ke sana demi melihat anak di depan mata.
“Saya bersyukur kerana mereka meminati ilmu agama dan sentiasa berdoa agar mereka berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air kelak,”katanya.

Untuk rekod, Ahmad Arif adalah rakan dan sekampung dengan pelajar tahfiz, Muhamad Rahman Rozali,17, yang meninggal dunia dalam trageri kemalangan tujuh tahfiz di Kuala Krai baru- baru ini. Beliau turut pulang mengiringi jenazah untuk disemadikan di tanah perkuburan Kampung Sungai.

Ahmad Arif juga pernah dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak 2015.

Ahmad Arif (kanan) ketika dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al- Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Ahmad Arif (depan) ketika mengimamkan solat hajat sebuah program di Gunung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...