Memaparkan catatan dengan label NEWS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NEWS. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Julai 2019

Selepas Paus Orca dan Pak Belang Awang Besul Kini Paus Pilot Sirip Pendek Pula Singgah Di Terengganu..




Selepas kemunculan paus pembunuh diikuti kejutan harimau belang ‘jinak’ masuk kampung, sekumpulan paus pilot sirip pendek atau Short Finned Pilot Whale pula dikesan muncul buat pertama kali di perairan Terengganu kelmarin.
Sinar Harian melaporkan, Episod hidupan hampir pupus memunculkan diri di depan manusia di negeri ini masih belum berakhir apabila kumpulan ikan paus pilot sirip pendek itu atau nama saintifiknya Globicephala Macrorhynchus dikesan berenang berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut.
Kehadiran kumpulan mamalia marin berkenaan disedari beberapa orang nelayan yang sedang memancing sebelum mereka sempat merakam kejadian itu menerusi video berdurasi 40 saat.
Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad mengesahkan kumpulan ikan itu adalah paus pilot sirip pendek yang kini hampir pupus selepas meneliti rakaman video yang diterima dan dari keterangan yang diberikan nelayan terbabit.
Katanya, kumpulan paus pilot sirip pendek tersebut dilihat berenang kira-kira 30 kilometer dari pantai dengan kedalaman air antara 30 hingga 35 meter.
“Paus pilot sirip pendek ini tidak pernah melalui perairan negeri ini berdasarkan rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang yang berada di bawah Jabatan Perikanan.
“Jadi tarikh 24 Julai 2019 merupakan rekod pertama paus ini muncul di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Tamimi berkata, pihaknya percaya kumpulan mamalia marin tersebut menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka.
Katanya, nelayan yang melihat kejadian itu memaklumkan saiz mamalia marin itu sangat besar dan jumlahnya banyak.
“Kebiasaannya spesies ini memang sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi mereka dalam bilangan antara 10 hingga 50 ekor.

“SAIZ YANG DIANGGARKAN BAGI KUMPULAN INI ADALAH ANTARA TIGA HINGGA TUJUH METER DENGAN ANGGARAN BERAT 1,000 HINGGA 3,000 KILOGRAM (KG) BAGI DEWASA DAN SATU HINGGA TIGA METER DENGAN ANGGARAN BERAT 60 HINGGA 500KG BAGI ANAK,” KATANYA.

Tambahnya, jangka hayat paus pilot sirip pendek antara 40 hingga 45 tahun dan umur kematangannya adalah antara 10 hingga 20 tahun.
Jelasnya, kandungan untuk menghasilkan generasi baharu mengambil masa antara 15 bulan dengan saiz anak baru lahir mempunyai antara 1 hingga 1.9 meter panjang dengan berat 60 kg dan anak akan berpisah dengan ibu sehingga mencapai umur dua tahun.
Paus pilot sirip pendek biasanya hidup bergerak dan memburu dalam kumpulan populasinya antara 10 ekor sehingga mencapai 50 ekor ada juga sesetengah populasi boleh mencapai sehingga 200 ekor.
Mohd Tamimi memberitahu, kali terakhir paus pilot sirip pendek pernah direkodkan dan terdampar mati adalah di Sarawak pada 2013 dan di Labuan pada 2015.
“Paus pilot sirip pendek adalah tersenarai dalam jadual mamalia marin iaitu antara salah satu spesies marin terancam di Malaysia.
“Jabatan Perikanan melindungi spesies-spesies ikan marin terancam ini melalui penguatkuasaan Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019,” tegasnya.
Katanya lagi, spesies paus pilot sirip pendek mula menjadi terancam dan hampir pupus kerana kebanyakan nelayan di negara seperti Jepun, Amerika, Filipina, China, Taiwan, Vietnam dan lain-lain lagi menjadikan spesies berkenaan sebahagian diet mereka.
“Ia kerana dagingnya mempunyai protein yang tinggi dan tekstur yang lembut. Sesetengah bahagian badan yang lain juga dibuat ubatan dan lain-lain produk,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, di peringkat antarabangsa, paus pilot sirip pendek dilindungi di bawah ‘International Union for Conservation of Nature’ (IUCN) kerana menjadi antara spesies marin terancam di dunia.
Menurut beliau, paus pilot sirip pendek merupakan pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan ia merupakan haiwan karnivor yang biasanya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu, burung laut dan lain-lain.
“Adakalanya paus ini juga memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan kerana terdapat beberapa kes kedamparan sakit dan mati di luar negara.
“Populasi paus ini hidup di serata lautan di dunia, habitat yang digemari adalah di kawasan laut yang tidak terlalu cetek, jauh dari pesisir pantai, laut yang sedikit panas, mempunyai kepadatan makanan seperti sotong yang banyak, mungkin oleh kerana perairan Terengganu mempunyai banyak sotong sebab itulah spesies ini menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka.
“Contoh seperti di perairan Carlifornia, Amerika ketika musim sotong populasi paus pilot sirip pendek sangat banyak akan tetapi setelah sotong mula berkurangan paus ini tidak kelihatan dan bermigrasi mencari tempat baru,” katanya.
Mohd Tamimi menjelaskan, paus pilot sirip pendek menjadi perhatian umum dan dibela dalam kurungan bermula tahun 1960-an sehingga hari ini.


Sekumpulan paus pilot sirip pendek dikesan berenang di berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut kelmarin. 

Katanya, setengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti di The Marineland Antibes Theme Park Perancis, SeaWorld San Diego Carlifornia Amerika dan Seaworld Kamogawa Chiba Jepun, melatih paus pilot sirip pendek tersebut supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan awam dan pertunjukan di akuarium.
Berikutan itu, Mohd Tamimi meminta agar mana-mana orang awam yang menemui spesies marin terancam sama ada masih hidup atau telah mati, segera menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri atau FRI terdekat.
“Tindakan pantas anda boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam sama ada masih hidup ia boleh dilepaskan segera ke laut lepas, atau jika telah mati ia perlu diuruskan dengan prosedur-prosedur tertentu.
“Kami di FRI Rantau Abang dan Jabatan Perikanan sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku kedamparan (hidupan marin) sama ada hidup atau mati di mana sahaja,” katanya.
Sebelum ini sepasang paus pembunuh atau Paus Orca muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada 16 Julai lalu.
Selang dua hari kemudian negara dikejutkan pula dengan dua ekor harimau belang yang nampak agak jinak berkeliaran di Kampung Besol Lama di Bukit Besi, Dungun sebelum salah seekor harimau yang ditangkap dan dinamakan ‘Awang Besol’ mati pada Selasa lalu.

Sabtu, 12 Januari 2019

Harga Minyak 12 Hingga 18 January 2019

Harga petrol turun 1 sen

MENURUT Lim Guan Eng penetapan had siling harga minyak itu adalah inisiatif kerajaan Persekutuan untuk melindungi golongan B40. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: : Harga petrol RON95, RON97 turun 1 sen untuk tempoh 12 hingga 18 Januari  2019 berkuat kuasa Jumaat malam, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

RON95 akan dijual pada RM1.92 seliter manakala RON97 pada RM2.22 seliter manakala diesel pula naik 1 sen kepada RM2.05 seliter.


“Kerajaan Persekutuan telah mengotakan janji untuk melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

“Demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara apabila harga minyak dunia meningkat, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi," kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Tambah Guan Eng, penetapan had siling harga minyak itu adalah inisiatif kerajaan Persekutuan untuk melindungi golongan B40.

Sumber Astro Awani

Jumaat, 4 Januari 2019

Harga RON95, RON97 turun 27 sen mulai esok

  •                

Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95

Harga minyak di pam ditetapkan pada RM1.93 seliter bagi RON95 berbanding RM2.20 kini, manakala RON97 diturunkan kepada RM2.23 seliter berbanding RM2.50 kini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Diesel pula ditetapkan pada RM2.04 seliter berbanding RM2.18 sebelum ini.

“Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.

“Pengumuman harga runcit akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu hingga Jumaat.

“Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019,” tegas Guan Eng.

Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa.

Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada tahun 2008.


Sumber
Astro Awani

Berita ini pasti akan membuatkan rakyat malaysia teruja dan gembira dengan penurunan harga petrol. . Namun harus diingat bahawa harga petrol akan berubah setiap minggu.

Sama2 lah kita menanti dan menerima dengan hati terbuka akan kadar harga petrol yang bertukar setiap minggu. .

Jumaat, 26 Oktober 2018

Penemuan Rangka Manusia Di Kuaters Kerajaan Tidak Berpenghuni

Assalamualaikum.. Selamat petang,  tq sudi singgah... Tadi masa scroll facebook ternampak gambar penemuan rangka manusia yng di kongsi oleh salah seorang sahabat ayu..  Jadi ayu pun buka gambar dan baca komen kt situ.  Antara komen yng ada kt situ adalah kenyataan media yg telah dikongsikan di ruangan komen.

Ada banyak lagi komen yang sempat ayu baca dan ada yg ayu screen shot dan copy... Untuk info lanjut yang lebih detail dan sahih. . Bolehlah baca kenyataan media ni dulu..



KENYATAAN MEDIA
Ketua Polis Daerah Muar
Bertarikh: 25 Oktober 2018

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN PENEMUAN RANGKA MANUSIA DI KUATERS KERAJAAN TIDAK BERPENGHUNI, JALAN PESTA, MUAR, JOHOR.

Muar, 25 Okt- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesahkan telah menerima panggilan dari orang awam, telah menjumpai satu rangka manusia di dalam sebuah rumah Kuarters Kerajaan di Jalan Pesta yang sudah lama tidak berpenghuni.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar bersama Pasukan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar telah menjalankan siasatan di tempat kejadian. Tiada sebarang ketinggalan perlakuan berunsur jenayah dijumpai.

Turut dijumpai berdekatan rangka manusia berkenaan, sekeping Kad Pengenalan yang mana, waris kepada individu berkaitan telah tampil mengesahkan Kad Pengenalan adalah milik ahli keluarganya yang telah 2 tahun hilang.

Prosedur bedah siasat akan dibuat dalam menentukan punca kematian dan pengesahan identiti si mati dalam kes ini.

Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan apa jua bentuk maklumat berkaitan penemuan rangka manusia ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi berkaitan kejadian. Tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah ertian dikalangan masyarakat.

ACP ZAHARUDIN BIN RASIP
Ketua Polis Daerah Muar







Khamis, 4 Oktober 2018

Siasat Tragedi Meragut Nyawa 6 Angota Bomba


Tragedi yang meragut nyawa 6 angota bomba dalam misi menyelamat masih lagi menjadi bualan hangat dikalangan nitizen. Terbaru,  Dr Maza turut memuat naik status berkenaan tragedi ini dan menuntut pihak bertangung jawab untuk memberi penjelasan berhubung kejadian ini...

Siasatan menyeluruh kematian 6 anggota bomba


KERAJAAN perlu menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap insiden yang meragut nyawa enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akibat lemas, semalam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, satu siasatan lengkap perlu dilakukan segera dan kerajaan perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat apakah yang sebenarnya terjadi supaya tidak diulangi kelemahan yang lepas.

“Kes ini tidak boleh dianggap remeh. Jika hanya seorang, mungkin boleh dianggap kemalangan yang tidak mampu dielakkan.

“Namun, apabila berlaku kepada enam nyawa, maka satu siasatan lengkap dan bertanggungjawab perlu dilakukan segera,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, DrMAZA.com, petang tadi.

Beliau berkata, mereka yang terkorban dan semua pasukan yang seumpama mereka adalah wira bangsa yang tidak ternilai khidmat dan budinya buat rakyat

“Semoga Allah memberikan ganjaran besar atas pengorbanan mereka dan ditempatkan di syurga yang mulia.

“Ya Allah! Tempatkan mereka di syurga yang indah!” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:25 PM

Sumber HMETRO 






Selasa, 6 Februari 2018

Terusan Di Venice Kering Kontang Selepas Fenomena Super Moon



Bandar Venice yang terletak di Itali ini cukup terkenal dan sering dipanggil sebagai sebuah bandar romantik selepas Paris di Perancis dan Armsterdam di Belanda.


Mungkin disebabkan oleh kehadiran gondala-gondola yang bersimpang-siur di dalam terusan yang menghubungkan tempat-tempat lain di dalam bandar ini menjadikan bandar ini sering menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia.


Akan tetapi, pernah tidak anda membayangkan bagaimanakah keadaan bandar Venice tanpa terusan-terusan mereka yang terkenal ini?


Gambar-gambar yang diambil sekitar 31 Januari sehingga 1 Februari ini memaparkan terusan di sekitar Venice yang kering kontang sehingga menyebabkan gondola-gondola itu tidak dapat beroperasi seperti biasa.


Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada penyurutan paras air, antaranya adalah cuaca yang sejuk, kekurangan jumlah hujan dan fenomena Supermoon pada 31 Januari baru-baru ini yang telah memberikan kesan kepada pasang surut air.


Tidak seperti dengan gambar-gambar Venice yang sering kita lihat sebelum ini, keadaan terkini di Venice adalah jauh berbeza sekalli dengan deretan bot dan gondola yang terkandas di dalam lumpur di lantai terusan yang sekaligus menjadikan bandar ini kelihatan begitu tidak romantik sekali.

Di sesetengah kawasan di Venice, paras air di terusan surut sehingga 2 kaki. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut Venice dilanda fenomena kemarau yang luar biasa dan fenomema ini telah mengakibatkan banyak aktiviti pelancongan dan pekerjaan terjejas teruk.

Sumber TaikoTv

Isnin, 5 Februari 2018

Cabaran Tahfiz Cilik

Bukan mudah untuk menjadi seorang hafiz yang perlu menjaga tertib pelbagai perkara termasuk perilaku dan pemakanan.
Namun, disiplin sedemikian bukanlah sesuatu yang mudah diikuti oleh seorang anak yatim Kampung Sungai, Bachok yang sememangnya berminat untuk mendalami ilmu agama sejak di bangku sekolah rendah.

Masuk tahfiz usia 11 tahun.

Ahmad Arif Hanif Juhari,15, anak keempat daripada lima beradik ini tidak kekok untuk meninggalkan segala kelaziman hidup sebelum ini semata- mata untuk mendalami ilmu agama di Maahad Tahfiz Al- Hashimi, Kuala Krai.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perupuk ini meninggalkan alam persekolahan aliran biasa untuk mengejar cita- citanya belajar agama ke Timur Tengah.
Walaupun ujian untuk memasuki tahfiz itu agak ketat dengan tiga siri ujian, namun dia dapat melepasinya dan kini sudah hafaz 28 juzuk al- Quran.

“Semua perkara perlu dijaga termasuk pergaulan dan pemakanan. Saya tak boleh makan sesuka hati di luar kerana makanan yang menjadi darah daging akan mempengaruhi hati dan minda kita.
“Kalau balik ke kampung pun tak lama iaitu tiga empat kali sahaja setahun tidak termasuk waktu ‘outing’ dua minggu sekali. ‘outing’ pula hanya sehari.

Saya akan balik ke kampung ketika ‘outing’ kalau rasa rindu sangat dengan mak. Tambahan pula mak tinggal sendirian sekarang selepas adik saya, Ahmad Hakim,13, juga belajar di maahad ini,”katanya.
Sering jadi imam tarawih dan solat berjemaah.
Menjelang Ramadan setiap tahun, Ahmad Arif adalah salah seorang pelajar yang menjadi rebutan untuk dipinjamkan sebagai imam di masjid- masjid seluruh negeri termasuk di Terengganu.

Difahamkan baru- baru ini dia pernah ditawarkan untuk bertugas di salah sebuah masjid di Kuala Besut untuk menjadi imam tarawih namun permintaan itu terpaksa ditolak oleh ustaznya memandangkan dia mempunyai banyak aktiviti di mahad tahfiz berkenaan.

“Saya tak kisah ditawarkan menjadi imam di mana- mana sahaja tetapi perlu melalui ustaz di maahad tahfiz kerana jadual kami agak padat dengan pelbagai aktiviti.
“Saya mula menjadi imam solat berjemaah sejak di sekolah rendah lagi ketika kelas fardhu ain.

Alhamdulillah setakat ini saya tidak ada masalah untuk kendalikan sebarang solat berjemaah. Kita perlu yakin dan tawakal kepada ALLAH S.W.T ketika menggalas tanggungjawab sebagai imam solat,”katanya yang kehilangan bapa sejak 11 tahun lalu.

Rebut peluang belajar ketika muda.
Berkongsi mengenai aktivitinya sebagai pengajar kelas al- Quran, Ahmad Arif berkata, usia muda sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk belajar al- Quran.
Katanya, apabila usia telah meningkat, keupayaan seseorang untuk mentelaah akan terbatas sama ada dari segi sebutan dan penglihatan.

“Alhamdulillah kini saya dah hafaz 28 juzuk. Di sini kami diajar pelbagai kemahiran berbeza. Jika saya azan, kawan- kawan lain akan iqamat, baca doa dan imamkan solat. Ia untuk membolehkan kami merasai sendiri pengalaman itu sebelum bersedia keluar menjadi imam solat.
“Selain itu, dalam kesibukan kami mentelaah pelajaran namun dalam masa yang sama kami juga terlibat dengan aktiviti lain seperti bersukan yang penting untuk kecergasan fizikal,”katanya.

Ibu sokong minat anak.

Manakala, ibunya, Aminah Mat,48, berkata, dia tidak pernah menyekat minat dua anaknya untuk mendalami ilmu agama dan meninggalkan sekolah aliran biasa.
Katanya, dia bertuah kerana di maahad tahfiz itu anaknya ditanggung sepenuhnya oleh pihak maahad termasuk pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran.

“Adakalanya kalau saya rindukan anak- anak, saya akan naik kereta sewa untuk ke Kuala Krai. Walaupun kami bukan orang senang tetapi saya tak kisah berhabis RM100 untuk bayar tambang ke sana demi melihat anak di depan mata.
“Saya bersyukur kerana mereka meminati ilmu agama dan sentiasa berdoa agar mereka berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air kelak,”katanya.

Untuk rekod, Ahmad Arif adalah rakan dan sekampung dengan pelajar tahfiz, Muhamad Rahman Rozali,17, yang meninggal dunia dalam trageri kemalangan tujuh tahfiz di Kuala Krai baru- baru ini. Beliau turut pulang mengiringi jenazah untuk disemadikan di tanah perkuburan Kampung Sungai.

Ahmad Arif juga pernah dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak 2015.

Ahmad Arif (kanan) ketika dinobatkan sebagai qari terbaik keseluruhan dalam Tilawah al- Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia kali ke-41 yang diadakan di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Ahmad Arif (depan) ketika mengimamkan solat hajat sebuah program di Gunung.

Rabu, 3 Januari 2018

KELUARGA MALU GAMBAR ANAK TULAR


Setelah isu kanak-kanak perempuan yang berpakaian lusuh pada hari pertama persekolahan tular, banyak pihak telah memandang serius isu ini dan cuba untuk membantu. Tak kurang juga dengan ramai pihak yang mengecam dan menyalahkan banyak pihak dalam isu ini.

Hari ini keluarga ini telah dikunjungi oleh pelbagai agensi atas rasa tangungjawab untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah sebenar yang dihadapi oleh keluarga adik Natasya.. 

Oleh kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan gambar adik Natasya, keluarga mengakui malu berdepan dengan masyarakat. Kerana gambar anaknya telah tersebar ke seluruh negara.  

Bachok - Keluarga murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak yang menjadi mangsa tular kononnya memakai pakaian dan kasut buruk pada hari pertama persekolahan, malu dengan penularan berita berkenan.

Mazawati Ismail,42, berkata, dia hanya mengetahui mengenai gambar anaknya, Nadia Natasha Ibrahim,12, ditularkan selepas didatangi seorang guru sekolah anaknya petang kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini seorang lelaki menghubunginya dan memaklumkan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga mereka.
“Ada seorang lelaki datang beberapa hari lalu cakap nak beri bantuan, saya tak tahu dia akan sebarkan cerita mengenai keluarga kami begini. 

Memang kami agak susah, saya kerja mencari daun nipah untuk dibuat daun rokok dan adakalanya mencari tiram jika tak hujan. Namun kami tak pernah minta kisah keluarga disebar begini, kami malu.

“Akibatnya anak saya pun malu untuk ke sekolah hari ini. Kami bukan tak ada duit cuma belum berkesempatan untuk ke kedai beli kasut. Saya dah ajak dia ke kedai tetapi dia tak mahu. 

Jadi hari tu saya hanya beli untuk yang adiknya Che Akma Arini,8, sahaja. Untuk dia kena tunggu kakak dia bawa ke kedai dalam masa terdekat ini,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sador.

Kisah daif Nadia Natasha ini ditularkan seorang lelaki dalam laman sosial ‘facebook’ kelmarin termasuk dalam kumpulan ‘whats app’ dan menjadi bualan hangat netizen.

Ia membuatkan pelbagai agensi hadir untuk melihat sendiri keadaan keluarga ini yang dikatakan amat daif dan tinggal di rumah yang dibina di atas rizab tanah perkuburan.
Nadia adalah anak keenam daripada lapan beradik. 

Bapanya, Ibrahim Donik,64, bekerja mengambil upah menjaga ternakan biri- biri dengan pendapatan kira- kira RM500 sebulan.
Nadia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bapanya turut menerima bantuan RM300 sebulan.

Selain dua anaknya yang bersekolah, anak bongsu pasangan ini, Aiman Zakwan,5, menghidap penyakit asma sejak berusia tiga bulan dan perlu bergantung dengan ubat.

 Manakala, Guru Besar SK Pantai Senak, Mohd Daud Salleh berkata, tiada isu mengenai murid berkenaan diabaikan kerana dia adalah penerima tetap pelbagai bantuan sama ada dari pihak sekolah dan JKM.

“Murid ini adalah tersenarai dalam penerima pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rangkaian Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan zakat setiap kali musim perayaan,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Dun Tawang, Mohd Azman Mohd Noor berkata, pihaknya terkejut dengan kisah yang ditularkan itu dan hadir ke kediaman keluarga itu untuk lihat sendiri keadaan mereka.

“Hari ini kita lihat ramai yang datang ziarah keluarga adik Nadia Nastasya termasuk agensi kerajaan pun datang seperti Pejabat Pendidikan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), NGO, dan saya mewakili Amanah Kelantan dapat lihat kehidupan mereka ini amat daif.
“Dengan tersebarnya berita ini kita harapkan sesiapa yang ingin bantu boleh sama- sama berganding bahu hulurkan bantuan. 

Kerajaan perlu ambil perhatian mengenai keluarga ini agar dapat kehidupan lebih baik. Mungkin MAIK boleh iktiar tanah rizab kubur ini untuk kediaman tetap mereka,”katanya ketika menziarahi keluarga berkenaan semalam.

Ibrahim (kanan), Mazawati (tengah) dan anaknya, Nadia Natasha (kiri) malu dan sedih apabila kisah keluarganya ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial sejak kelmarin.

Mazawati membuat daun rokok untuk menyara keluarganya apabila tidak dapat turun ke sungai mencari tiram ketika musim hujan.

Keadaan rumah keluarga Nadia Natasha yang dibina di atas rizab tanah perkuburan Kampung Sador.
Nadia menunjukkan kasut buruknya yang ditularkan dalam laman sosial kelmarin.

Sabtu, 30 Disember 2017

Wanita Cenderung Hidap Masalah Mental : Jangan Pendam, Luahkan

Berdasarkan laporan dari akhbar Harian Metro beberapa hari lalu dengan tajuk : Jangan Perasaan, Luahkan mengupas isu masalah risiko masalah mental yang lebih menjurus kepada golongan wanita terutamanya berbanding lelaki. 

Hal ini a adalah kerana wanita dikatakan lebih suka memendam rasa dari meluahkan masalah mereka atau bercakap mengenai masalah mereka. Masalah mental merupakan isu yang serius jika dibiarkan kerana akan berisiko membahayakan diri sendiri atau pun orang sekeliling. 

Oleh itu pengarah kesihatan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan ujian saringan keatas semua perkerja kesihatan bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan tidak mengalami masalah mental. Dan juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan merawat pekerja yang berisiko.

Oleh itu kita kena sentiasa perihatin dalam kehidupan dan keaadaan orang lain terutamanya sahabat kita yg mungkin akan mengalami masalah mental tanpa kita sedari. Jadi kalau ada kawan2 yang suka menyendiri, cubalah dekati atau selami perasaan mereka agar mereka tidak terus menerus mengalami masalah mental. 

Kat bawah ni u oll boleh baca artikel yg disediakan oleh Harian Metro


SUKA memendam perasaan dan tiada masa berkongsi masalah dengan keluarga mahupun rakan menjadi antara faktor wanita lebih cenderung menghidap masalah mental berbanding lelaki.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, ia berbeza dengan lelaki yang lebih suka berbual dan mempunyai masa untuk bersama rakan selepas waktu bekerja.

Katanya, ia mendorong mereka untuk meluahkan masalah dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

"Wanita pula tidak suka berbual apabila mempunyai masalah. Mereka pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja dan masalah dipendam menjadikan tekanan berterusan ditambah faktor hormon (haid).

"Ini dilihat faktor menyebabkan wanita lebih berisiko untuk menghidap masalah mental berbanding lelaki. Tanda-tanda penghidap adalah suka menyendiri, tidak mahu bercakap dan termenung.

"Masalah kesihatan ini boleh bermula dari umur 17 tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Kesedaran Kesihatan Mental dan Ambo Nok Sihat Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Azman Ismail.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II Datin Dr Selasawati Ghazali.

Dr Ahmad Razin menjelaskan kesihatan mental bermaksud kebolehan mengekalkan hubungan harmoni dengan orang lain, kebolehan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan menyumbang kepada masyarakat.

Bagi memastikan kakitangan kesihatan sihat mental, jabatan itu melalui Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS) mengadakan saringan kesihatan di peringkat ibu pejabat, hospital dan pejabat kesihatan daerah.

"Tahun ini, ujian saringan kesihatan mental (DASS) dijalankan ke atas 14,000 kakitangan kesihatan Kelantan dan 90 peratus daripadanya tidak mempunyai masalah kesihatan mental.

"Hanya 10 peratus dikenal pasti berisiko dan kita gerakkan 366 kumpulan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) sebagai sokongan," katanya.

Pada masa sama, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mewujudkan KOSPEN di masjid untuk beri latihan kesihatan dan bantu masyarakat.

Sumber : Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017

Jumaat, 29 Disember 2017

Hilang di Argentina kini dilihat di Malaysia



“SAYA terseksa kerana tidak dapat jumpa anak hampir tujuh bulan," kata Elizabeth Avalos, 27, ibu Alum Langone Avalos, 7 yang  dilaporkan hilang sejak Jun lalu di Argentina dan terkini dikatakan dilihat di negara ini. 

Kisah kehilangan kanak-kanak itu tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat perhatian netizen di negara ini 

Elizabeth ketika dihubungi Harian Metro berkata, tiga minggu lalu, ada individu memberitahu di Facebooknya bahawa anaknya itu ada dilihat di negara ini. 

Katanya, anaknya itu didakwa dilihat bersama seorang lelaki dipercayai bekas suaminya. 

“Bekas suami saya melarikan Alum sejak 4 Jun lalu di Argentina. Dia kemudian membawa Alum ke beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan terbaru di Malaysia. 

“Pihak kedutaan Argentina turut memaklumkan ada rekod kemasukan bekas suami dan anak ke negara ini. Justeru mereka ( kedutaan) menyebarkan maklumat itu di laman sosial," katanya yang berada di Argentina.

Elizabeth berkata, dia buntu untuk menjejaki anak tunggalnya itu. 

“Orang awam pernah nampak anak saya bersama bekas suami dan seorang wanita yang berpura-pura sebagai ibunya. 

“Saya kesal dengan perbuatan individu itu dan berharap anak saya dapat kembali ke pangkuan saya," katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi kedutaan Argentina di Malaysia ditalian 012 2012464.


Sumber asal : Harian Metro 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 

Gelak Bawa Maut


Bahaya betul zaman ni,  Kalau nk berkawan kena berhati-hati. Tambah2 kalau berkenalan secara online. Kita tk tahu kalau orang yg berkawan dengan kita tu jujur atau tak.. N kita pun tak tahu entah orang tu ade masalah mental ke ape.

Moga kita semua ni terhindar dari segala masalah macam yang dialami oleh wanita ni.  Hanya kerana gelakkan kenalan yang dikenali dari laman sembang wanita ini telah dibunuh dengan kejam.

Oleh itu, kita haruslah bersikap lebih peka terhadap perasaan orang lain dan dan berhati2 apabila memilih kawan. Jom baca berita dari harian metro kt bawah ni..


Moscow: Kerana mentertawakan pasangannya apabila mendapat tahu ‘ahli perniagaan berjaya’ itu sebenarnya cuma tukang cuci kereta, seorang wanita mati ditikam kejam sebanyak 88 kali oleh teman lelaki yang dikenali melalui laman sembang.

Dalam kejadian itu, Evgeny Markov mengajak mangsa, Irina Kozlova, 34, memandu ke kawasan romantik kononnya untuk melihat pemandangan yang indah di Ust-Mana, Siberia.

Bagaimanapun, apabila tiba di situ, Markov mengarahkan Irina menutup mata kononnya untuk memberikan kejutan sebelum mengeluarkan pisau dan menikamnya berulang kali.

Mayat Irina yang berlumuran darah dan dipenuhi kesan tikaman serta luka itu ditemui dalam keretanya.

Markov, 34, ditahan tidak lama selepas itu ketika makan di sebuah restoran, malah tidak menunjukkan rasa kesal sebaliknya terus mengaku perbuatannya.

Dia dipetik polis berkata: “Pada awal perkenalan saya memberitahu Irina bahawa saya ahli perniagaan berjaya.

“Selepas kami semakin mengenali, saya memilih untuk berterus-terang dengannya mengenai kerja sebenar, lalu mendedahkan saya sebenarnya tukang cuci kereta.

“Saya amat berang dan malu apabila Irina ketawa besar.”

Sumber : Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017

Khamis, 21 Disember 2017

Thailand Alami Cuaca Sejuk Luar Biasa


Cuaca sejuk luar biasa yang melanda beberapa bahagian di Thailand memaksa penduduk menggunakan jaket tebal.- Foto BERNAMA

BANGKOK: Penduduk di wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand, termasuk ibu kota Bangkok, kini terpaksa memakai pakaian lebih tebal berikutan cuaca sejuk melanda kawasan berkenaan.

Menurut Jabatan Meteorologi, cuaca sejuk itu berpunca daripada sistem tekanan tinggi yang kuat yang melanda wilayah timur laut hingga ke wilayah utara serta kawasan tanah pamah di bahagian tengah negara ini.

Sejak Ahad lepas hingga Selasa, sistem tekanan tinggi kuat dari China menyebabkan suhu di kawasan berkenaan turun antara 6 dan 8 darjah Celsius.
Suhu dijangka terus menurun antara 2 dan 3 darjah Celsius lagi apabila satu lagi gelombang angin sejuk dari utara Thailand bertiup ke bahagian tertentu negara ini mulai Rabu hingga Jumaat.

Penduduk di beberapa bahagian Bangkok mengalami cuaca lebih sejuk pada Rabu berbanding beberapa hari lepas apabila suhu jatuh kepada antara 14 dan 16 darjah Celsius pada awal pagi.

Para pelajar juga mengenakan pakaian musim sejuk ketika ke sekolah pada Rabu.

Suhu dijangka meningkat pada tengah hari dan petang sebelum turun ke paras bawah 20 darjah Celsius pada waktu malam.

Cuaca sejuk sekarang bukan sesuatu yang asing bagi Bangkok dan 11 juta penduduknya kerana mereka pernah mengalami cuaca paling sejuk berukuran 9.9 darjah Celsius pada Januari 1955 dan 10.5 darjah Celsius pada Disember 1975.

Di utara Thailand, cuaca sejuk lebih teruk dirasai terutama oleh mereka yang tinggal di kawasan tanah tinggi dengan suhu menjunam kepada bacaan satu angka dan sesetengah kawasan pergunungan dijangka diliputi fros kerana terlalu sejuk.

Di Taman Negara Doi Inthanon, Chiang Mai, paras suhu jatuh kepada -2 darjah Celcius pada Rabu, cuaca paling sejuk yang melanda pusat pelancongan itu tahun ini.

Bagaimanapun, cuaca sejuk sekarang dijangka tidak berlaku bagi tempoh yang panjang kerana menurut ramalan Jabatan Meteorologi, keadaan demikian akan berakhir pada Jumaat ini. -- BERNAMA

Sumber. Astro Awani

Isnin, 25 September 2017

PENYAMUN KENALKAN DIRI SEBELUM MENYAMUN



Keratan akhbar berhubung kejadian tersebut, semalam.

RANTAU PANJANG – “Tiap kali terserempak atau disapa orang tidak dikenali terutama lelaki, saya pasti anggap mereka jahat,” kata mangsa samun di puncak Bukit Keluang, Besut, Terengganu, petang kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai kak Jah, 55, berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan itu kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpanya.

“Saya pelik juga, kerana masa disamun, saya tak adalah rasa takut sangat, cuma ketika itu saya hanya fikirkan keselamatan anak dan dua lagi rakannya.

“Tapi dua hari selepas kejadian, timbul perasaan tidak selesa dan menganggap semua orang yang mendekati saya, adalah orang jahat,” katanya.

Kak Jah berkata, bagi mengatasi perkara itu, dia cuba memujuk hati dan bermuhasabah diri agar tidak terlalu mengikut emosi.

Disebabkan kejadian ini juga dia berkata, selepas ini dia tidak mungkin akan mendaki bukit apatah lagi gunung sampai bila-bila.

Menurutnya, dia tidak menyangka perbualan biasa dengan dua lelaki ketika mendaki puncak Bukit Keluang, berakhir dengan kejadian samun.

Menceritakan detik cemas itu, katanya, lelaki itu pada mulanya memuji keberanian mereka, mendaki sehingga ke puncak ketika hari Jumaat.

Malah katanya, lelaki itu juga memuji keberanian mereka mendaki tanpa ditemani lelaki.

Lama selepas itu katanya, barulah lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai penyamun dan menggesa mereka serahkan semua barang berharga.

"Bagi mengelak kejadian tidak diingini, kami semua akur kehendak penjenayah itu," katanya.

Sementara itu, anak mangsa yang mahu dikenali Min, 21, berkata, dia dan keluarganya kini berasa tidak selamat lagi bila berada di luar apabila maklumat peribadi mereka tersebar di laman sosial

"Saya terkejut apabila mendapati maklumat peribadi ibu termasuk laporan polis tersebar dalam aplikasi WhatsApp.

"Bukan sahaja nama penuh, Min berkata, alamat rumah, nombor telefon dan nombor kad pengenalan disebarkan tanpa sebarang tapisan," katanya.

Menurutnya, laporan berkenaan tidak sepatutnya bocor kerana ia menjejaskan keselamatan mangsa yang terlibat.

“Jika penyamun itu baca, bagaimana, adakah kami akan jadi mangsa lagi tapi kali ini, kejadiannya di rumah pula.

“Sekarang saya tak rasa selamat lagi, nak keluar rumah pun risau, sebab penjenayah kenal kita, tapi kita belum tentu kenal mereka,” katanya.

Disebabkan kejadian ini juga, Min berkata, dia tidak berani untuk mendaki bukit atau beriadah di tempat awam.

Ketika kejadian katanya, dia tidak mampu melawan kerana lelaki tersebut mempunyai senjata dan mungkin bertindak agresif.

Malah Min berkata, dia juga risau dengan ibu dan dua rakannya yang turut menjadi mangsa.

Kelmarin Sinar Harian  melaporkan empat pendaki wanita berdepan detik menakutkan apabila mereka diugut rogol dan bunuh sebelum disamun dua lelaki di puncak Bukit Keluang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang suri rumah berusia 55 tahun dari Pasir Mas bersama seorang anak perempuannya berusia 21 dan dua rakan perempuan anaknya berusia 24 dan 39 tahun disamun lelaki bersenjata pisau dan kayu.

Sumber
SinarHarian

NOOR AZLIDA ALIMIN
25 SEPTEMBER 2017

Diugut Rogol Sebelum Disamun Di Bukit Keluang


Gambar Hiasan

BESUT - Empat pendaki wanita berdepan detik menakutkan apabila mereka diugut akan dibunuh dan dirogol sebelum disamun dua lelaki di puncak Bukit Keluang, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira -kira jam 2.30 petang  itu, seorang suri rumah berusia 55 tahun dari Pasir Mas, Kelantan bersama seorang anak perempuannya berusia 31 dan dua rakan perempuan anaknya berusia 24 dan 39 tahun disamun lelaki bersenjata pisau dan kayu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa mendaki melalui jalan belakang Bukit Keluang dan sebaik sampai di puncak bukit tiba-tiba muncul dua lelaki menutup muka dengan kain.
Menurutnya, kedua -dua suspek yang memakai seluar pendek tiga suku dan baju tanpa lengan yang masing masing bersenjatakan sebilah pisau dan kayu telah  mengacukan kepada mangsa.
“Suspek telah mengugut akan merogol dan membunuh jika mangsa tidak menyerahkan barang berharga milik mangsa.
“Kerana ketakutan mangsa telah menyerahkan tiga utas rantai tangan emas, seutas rantai leher emas, sebentuk cincin berlian emas, wang tunai RM200 dan tiga unit telefon bimbit,” katanya.
Mohd Zamri berkata, selepas merampas barangan mangsa, suspek telah melarikan diri turun dari puncak Bukit Keluang ke arah pantai peranginan pantai Bukit Keluang.
Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.
“Polis memandang serius kejadian itu kerana ia berlaku di tempat rekreasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.
“Sehubungan itu polis menasihatkan pendaki terutama di kalangan wanita agar berhati-hati dan sebaiknya ditemani kenalan lelaki serta naik  secara berkumpulan,” katanya.
Mohd Zamri berkata, polis juga akan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut selepas ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.

Sumber
SinarHarian

Ahad, 12 April 2015

RASA 'AIR PAPER' BAG MAMPU BERTAHAN SEHINGGA 5 JAM

air ‘paper bag
BAGI yang mendambakan kenikmatan pelbagai rasa kopi seperti moka, kapucino dan kafe latte dengan rasa asli dan aromanya kekal selama lima jam bolehlah mencuba air ‘paper bag’.

Minuman berais yang didatangkan dengan ‘paper bag’ ini mula mencetuskan fenomena baharu apabila ia semakin popular dan mendapat tempat di hati pelanggan.

Rohana Yaacob, 36, yang berniaga minuman itu sejak awal tahun lalu, berkata, minuman itu terkenal dengan nama air ‘paper bag’ kerana ia dimasukkan ke dalam plastik dan dibungkus dengan beg kertas di sebelah luarnya.

Menurutnya, minuman itu berasal dari Thailand dan mula diminati oleh masyarakat di sempadan ini.

“Paling istimewa ais dalam air ‘paper bag’ ini tidak cair dan dapat bertahan selama lima jam.

“Malah, rasanya tetap sama kerana ais itu tidak cair,” katanya yang berniaga di pasar malam dan Pasar Tani Wakaf Bharu dan sekitar daerah ini.

Rohana berkata, selain beraneka pilihan kopi, ia juga didatangkan dengan perisa buah-buahan seperti jagung, lobak merah, timun susu dan keladi.

Katanya, ada 30 perisa untuk pilihan pelanggannya dan perisa terbaharu yang mula diminati orang ramai ialah teh hijau.

“Rasanya lebih enak kalau dicampurkan dengan susu cair, ia memberikan rasa lemak manis pada minuman itu.

“Saya menjual minuman ini dengan harga RM3 bagi sebekas plastik, manakala RM2.50 dijual di dalam plastik,” katanya yang dibantu anaknya, Nurul Damisa Mohd Rosli, 16, dan adiknya, Noraini Ismail, 22.

Sumber

Khamis, 9 April 2015

GENG CUCI MASJID DAPAT PERHATIAN CINA DAN INDIA


SHAH ALAM - "Kami pernah menerima sumbangan dari bangsa India yang kagum dengan semangat kami, dan ada bangsa Cina yang melaungkan kata-kata ‘Malaysia Boleh’, sambutan semua bangsa membuktikan mereka berbangga dengan perjalanan kami."

Demikian respon jurucakap ‘geng cuci masjid’ Annas Aiman Jaffry, 27, yang menceritakan mengenai warna-warna perjalanan mereka serta perhatian masyarakat  sepanjang kembara mereka untuk mencuci masjid.

Jelasnya lagi, sejak kembara mereka bermula, mereka telah berjalan sejauh 764 kilimoter  setakat semalam.

"Kami sekarang berada di Masjid Kampung Beris, Kemaman, masjid yang ke-41, semalam dan adalah hari yang ke-75. Alhamdullillah semuanya berjalan lancar," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya adakah kembara mereka akan mencapai sasaran, Anas berkata Insya-ALLAH 'target' itu akan tercapai.
"InsyaALLAH akan tercapai," katanya.

Anas dan gengnya iaitu adiknya, Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka Hizamuddin Aliddin, 25, telah bertekad untuk berjalan kaki ke seluruh negara dengan niat untuk membersih masjid-masjid terpilih sepanjang perjalanan mereka itu.

Mengikut perancangan, dalam tempoh enam bulan pengembaraan, sebanyak 132 masjid di seluruh negara akan mereka kunjungi bagi tujuan itu.

Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, mereka yang sebelum ini bekerja masing-masing sebagai penyelia stor dan pengawal keselamatan, sanggup meletak jawatan demi untuk merealisasikan hasrat itu.

Rabu, 28 Januari 2015

Aiskrim Pasu Mula Jadi Kegilaan

Pelbagai ramuan dan perasa disediakan dengan hanya RM5 sebekas.

SUNGAI PETANI – Fenomena terbaharu mengubahsuai pasu bunga sebagai bekas aiskrim terbukti berkesan apabila sambutan terhadap produk itu mendapat permintaan tinggi.

Pengusaha Butik Gerobok Tuan Tanah, Rozlyanna Basharuddin, berkata, jualan hari pertama mencecah 100 unit melebihi jangkaan sasaran hanya 50 aiskrim.

“Kelainan rasanya membuatkan pelanggan datang semula untuk mendapatkan aiskrim pasu bagi kali kedua dan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahawan muda berusia 26 tahun ini berkata, dia mula mendapat idea menyediakan aiskrim pasu ketika cuba merasai keenakannya di sebuah lokasi pelancongan.

“Sebelum itu, saya mula sediakan ruang untuk vendor mempromosikan barangan mereka di Butik Gerobok Tuan Tanah yang berkongsi bangunan dengan kilang baju Rokiah Garments di Taman Bandar Baru, Sungai Petani (terletak di belakang Institut Kemahiran Mara).

“Bagaimanapun, apabila memikirkan cara untuk tarik pelanggan ke butik vendor ini, kami cuba sediakan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan sehingga kini mencecah 500 aiskrim pasu berjaya dijual sehari.

Katanya, bagi melancarkan urusan, suami, Mohd Ridhaus Irffan, 26, dan adik lelaki, Rozaimy, 24, turut membantunya kerana tidak menang tangan dengan tempahan pelanggan.

Sumber

Rabu, 7 Januari 2015

Kilang Bebola Ikan Jijik

PEGAWAI jabatan kesihatan negeri memeriksa kilang bebola ikan yang beroperasi dalam keadaan kotor di Jalan Paya Terubong.

Georgetown: Sebuah kilang memproses bebola dan kek ikan diarahkan tutup selama 14 hari kerana gagal mematuhi aspek kebersihan dalam operasi di Jalan Paya Terubong di sini, pagi semalam.

Operasi jam 9.30 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia Daerah Timur Laut dan pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai papan tanda syarikat di luar premis.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa mendapati pekerja premis berkenaan tidak mematuhi aspek kebersihan ketika mengendalikan dan memproses makanan termasuk tidak memakai sarung tangan dan membiarkan makanan terdedah pada serangga tanpa ditutup dengan plastik.

Beliau berkata, selain itu, pemeriksaan mendapati minyak masak yang digunakan untuk menggoreng kek gulungan yang mengandungi ikan itu dipercayai sudah digunakan beberapa kali tanpa ditukar dan berwarna hitam selain tempat menggoreng terletak di tepi longkang.

“Turut dikesan, apron pekerja kotor dan pekerja menggunakan tangan untuk menggaul ikan yang sudah dikisar di dalam mesin manakala isi ikan siap dikisar diletakkan di dalam beberapa bekas tin yang sudah berkarat dan ia amat membahayakan pengguna.

Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 7 January 2015


Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...