Seremban: Seorang pengusaha gerai makanan ditemui mati dipercayai membunuh diri dalam sebuah kereta di Taman Bukit Mutiara, dekat sini, jam 6 petang tadi.
Difahamkan, lelaki berusia 31 tahun itu menetap di Sri Pulai 3, Temiang dekat sini.
Menurut sumber, mangsa ditemui dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang kebetulan mahu memeriksa pencawang TM di lokasi kejadian terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama.
Dua pekerja terbabit berasa pelik apabila mendapati sebuah kereta diparkir di tepi pagar kawasan itu yang agak sunyi.
"Mereka kemudian memeriksa kereta jenis Honda CRV dan mendapati terdapat seorang lelaki di tempat duduk pemandu.
"Mangsa didapati tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum mereka menghubungi pihak polis," katanya.
Sementara itu, sepasukan lapan anggota bomba dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 6.58 petang.
Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jefry Mohd Uzus berkata, pihaknya tiba di lokasi jam 7.20 malam dan terus melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki meninggal dunia di dalam kereta terbabit.
Beliau berkata, mangsa dipercayai membunuh diri dengan menyalurkan asap dari ekzos ke dalam kereta.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidup asap berkenaan. Pihak kami menyerahkan kes untuk siasatan lanjut oleh pihak polis," katanya dihubungi di sini.
Sumber dari myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan