Rabu, 19 November 2014

Bachok Dilanda Ribut


BACHOK – Akibat cuaca tidak menentu beberapa hari lalu, beberapa buah kampung di Dun Perupuk dilanda ribut pagi  kelmarin ketika hujan lebat dan menyebabkan beberapa buah rumah rosak teruk termasuk di Pantai Damat, Perupuk dan Melawi.
 


Sebuah keluarga di Kampung Pantai Damat dekat sini tergamam tidak berganjak dari tempat duduk mereka apabila ribut melanda lalu mengangkat bumbung ruang tamu di mana mereka asyik bersembang kira- kira jam 9 pagi kelmarin.
Abdul Rashid Derih,62, berkata, ketika itu dia berada di ruang tamu dan bersembang mengenai kesihatannya yang baru sahaja keluar dari hospital Isnin lalu.
Akibatnya, sebahagian besar bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik tidur anaknya serta perabung utama rosak teruk.
“Masa tu bila angin angkat bumbung, kami tergamam dan tak bergerak hinggalah anak sulung saya, Zamri,39, yang datang suruh kami beredar dari situ.
“Bilik anak perempuan kami memang tak dapat digunakan langsung sebab semua bumbung dah tak ada. Saya tak tahu bagai mana kami nak baiki bumbung ini sebab saya sendiri baru sahaja keluar hospital kerana macam- macam penyakit. Saya dah lama tak ke laut sebab masalah kesihatan dan kini pula musim tengkujuh,” katanya yang tinggal bersama isteri, Rokiah Mat Husin,54, dan empat anak yang masih bersekolah.
 

Abdul Rasyid berkata, ini bukan kali pertama ribut melanda kampung mereka apabila musim tengkujuh 2012 juga kejadian sama pernah menimpa kediamannya.
Namun katanya, kerosakan yang berlaku kali ini lebih teruk daripada kejadian dua tahun lalu.
Beliau berkata, keadaan itu amat menyukarkan mereka sekeluarga terutamanya anak- anak perempuannya yang masih bersekolah di tingkatan enam, tingkatan empat, tingkatan dua dan tahun lima.
Justeru beliau amat berharap untuk mendapatkan bantuan segera bagi membaiki bumbung rumahnya yang dianggarkan memerlukan kos RM3,000.
Rumah Abdul Rasyid hanya terletak kira- kira 100 meter dari laut yang kelihatan bergelora sejak beberapa hari lalu berikutan kedatangan monsun Timur Laut.
 


Manakala, di Kampung Perupuk, sepasang warga emas terkejut apabila buat pertama kalinya ribut melanda kediaman mereka sejak lebih 70 tahun menetap di situ.
Zakaria Husin,70, berkata, sejak dia tinggal di situ, kejadian yang berlaku jam 10 pagi kelmarin adalah pertama kali melanda kediamannya.
“Sebelum ini memang tak pernah berlaku kejadian ribut. pakcik dengar angin kuat datang dari arah pantai naik ke kanan rumah sebelum ia berterusan naik melanda sebelah kiri rumah yang kemudiannya mengangkat bumbung rumah.
“Pakcik yang tinggal berdua sahaja dengan isteri, Bidang Ibrahim,64, amat terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari belakang rumah. Mulanya kami ingatkan buah kelapa jatuh menimpa bumbung rumah. Bila pergi tengok sebahagian besar bumbung rumah kami sudah tak ada,” katanya.
Akibat kejadian itu, sebahagian bumbung bilik, dapur dan perabung rumahnya rosak diterbangkan ribut.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...