Selasa, 11 November 2014
Maut masa hantar anak ke sekolah
KUALA TERENGGANU - Dua orang anak terpaksa menerima takdir menyedihkan apabila melihat sendiri ibu yang disayangi dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian berhampiran SK Pasir Panjang, pagi semalam.
Lebih memilukan, anak bongsunya yang ketika itu sedang berpegangan tangan dengan ibunya untuk ke kedai makan sebelum dihantar ke sekolah trauma dengan kejadian tersebut.
“Kejadian berlaku dalam sekelip mata. Selepas dirempuh kuat oleh motosikal, saya lihat ibu masih bergerak sebelum terbujur kaku," kata salah seorang anak mangsa.
Siti Syamimi Azwa Ibrahim, 18, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama ibunya, Dayang Che Abd Kadir, 51, dan adik bongsunya, Mohamad Izzuddin Nazmi, 12, sedang berjalan kaki menuju ke kedai makan sebelum menghantar adiknya itu ke sekolah.
“Keadaan ketika itu agak tenang dan tiada banyak kenderaan. Cuma ada beberapa motosikal sahaja di jalan raya.
"Entah bagaimana, sebuah motosikal tiba-tiba merempuh ibu yang sedang memimpin tangan adik. Tangan adik terlepas akibat rempuhan yang kuat manakala ibu terbaring berlumuran darah di atas jalan," katanya.
Siti Syamimi Azwa yang melihat kejadian depan matanya terpaku dan tubuhnya menggigil kerana terkejut, apatah lagi melihat ibunya terbaring berlumuran darah.
“Saya masih trauma dengan kejadian yang berlaku kerana tidak sangka kejadian jam 7.15 pagi tadi (semalam) meragut nyawa ibu.
"Adik ketika itu memegang tangan ibu. Dia juga trauma dan sehingga ini dia tidak mahu beritahu apa-apa,” katanya.
Singgah sarapan sebelum hantar adik
Sementara itu, menurut Siti Syazwani, 25, anak ketiga dari tujuh adik-beradik, ibunya tinggal di Kampung Binjai Rendah dan setiap hari akan datang ke rumah keluarga di Pasir Panjang dan menghantar adiknya ke sekolah.
“Ibu keluar rumah dari Kampung Binjai Rendah kira-kira jam 6.45 pagi setiap hari.
"Biasanya sebelum hantar adik ke sekolah dia akan singgah ke kedai makan untuk bersarapan roti canai bersama adik," katanya.
Katanya, kejadian yang baharu berlaku itu memberi kesan mendalam buat mereka sekeluarga.
Tambah sedih apabila ibunya tidak sempat mengetahui keputusan UPSR adiknya yang akan keluar tidak lama lagi.
Menurut Siti Syazwani, bapanya, Ibrahim Muda, 59, juga masih lemah kerana terkejut dengan kehilangan ibunya yang secara tiba-tiba itu.
“Ayah juga masih tidak dapat berkata apa-apa. Masih lemah dan tidak mahu ditemu bual oleh pemberita,” katanya.
Siti Syazwani berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya adalah Sabtu lalu di kedai makan tempat ibunya bekerja.
“Disebabkan telah berkeluarga agak sukar untuk bertemu ibu kerana tinggal berasingan.. saya sempat bertemu ibu pun di tempat dia bekerja, selepas itu saya tidak langsung menemuinya sehinggalah hari ini (semalam)," katanya.
Katanya, ketika bertemu kali terakhir dengan ibunya yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di Bukit Kecil itu, ibunya ada mengadu sakit dada.
"Ketika ibu bagi tahu dia sakit dada, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini ibu sihat sahaja," katanya.
Menurut Siti Syazwani, kawasan tempat ibunya dilanggar motosikal itu sebelum ini kerap berlaku kemalangan maut.
“Memang sepanjang jalan berdekatan SK Pasir Panjang dan SMK Tengku Bariah sering berlaku kemalangan. Sebelum ini dah ada yang meninggal dunia akibat kemalangan di situ," katanya.
Katanya, sudah ketentuan ALLAH SWT ibunya juga meninggal di tempat sama.
"Kami sekeluarga reda dengan apa yang telah berlaku,” katanya.
Siti Syazwani berkata, arwah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Panjang jam 12 tengah hari semalam.
Sumber dari Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)
Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...
-
Sambil layan drama Filipina dolce amor ni teringat pulak kenangan masa jual ais krim dulu.. Ais krim Malaysia, bisnes kecil-kecilan d...
-
Sekiranya anda seorang pengguna kereta, motosikal atau lain-lain pengangkutan berenjin, anda pasti tahu tayar adalah antara bahagian jen...
-
Cuti sekolah dah mula, mesti ramai mommy yg tengah pikir nak bawak anak jalan2 sempena cuti sekolah ni kan.. Kebanyakkan tempat percuti...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan