Rabu, 5 November 2014

Cameron Highlands Dilanda Banjir Lumpur


Cameron Highlands: Lebih 20 buah rumah dan beberapa kenderaan dihanyutkan banjir lumpur di beberapa kawasan di sekitar pekan Ringlet, Kampung Baru Ringlet dan Kampung Ulu Merah di sini akibat limpahan Sungai Ringlet, 7 malam tadi.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lesley berkata, air lumpur hingga paras lutut bersama sampah sarap menghentam kawasan terjejas.

"Seorang rakan saya cedera dan terpaksa dibawa ambulans ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kejadian itu.

"Selain itu beberapa kenderaan turut kelihatan terjejas akibat hentaman banjir berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, hujan masih lebat di kawasan berkenaan sehingga 9.30 malam dan bimbang keadaan menjadi lebih buruk.

Sementara itu, Ketua Kampung Ringlet Looi Chin Chin berkata, lebih 20 rumah terjejas berikutan kejadian itu.

Katanya, kebanyakan kawasan terjejas berada di tebing Sungai Ringlet.

Jurucakap bomba dan penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan pemantauan dan operasi menyelamat.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan dua penduduk dilaporkan cedera ringan sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira empat kilometer dari kawasan tragedi Lembah Bertam yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober tahun lalu.

Sumber dari Harian Metro Online




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...