Isnin, 3 November 2014

Kesyukuran Sambut Usia 115 Tahun


MACHANG - Jika Misao Okawa dari Jepun dinobatkan sebagai wanita tertua di dunia, kini berusia 116 tahun dan dilahirkan pada 5 Mac 1898, namun Esah Jusoh di Kampung Jakar, dekat Pangkal Chuit di sini pula lahir pada 29 Oktober 1899.

Berusia 115 tahun, Esah yang mempunyai lima anak kini hidup dikelilingi anak, cucu, cicit serta piut (generasi kelima).

Sekalipun tidak mampu mendengar dengan baik dan terpaksa mengesot di dalam rumah,  Esah Jusoh masih sihat dan menjadi kesayangan keluarganya seperti seorang bayi.

Anaknya, Tuan Bidah Tuan Muda berkata, kakak sulungnya telah meninggal dunia dan mereka kini tinggal empat beradik dan masing-masing mempunyai keluarga yang besar.

Menurutnya, selain cucu dan cicit, Esah mempunyai sepuluh piut dan mereka akan berkumpul setiap kali hari raya, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Memandangkan mak tinggal bersama saya, jadi mereka semua akan berkumpul di sini. Pada hari raya, mereka terpaksa bergilir-gilir naik ke rumah ini kerana tak muat kalau naik sekaligus. Rasanya lebih 500 ahli keluarga kami semua.

“Pendek kata, kalau nak kenduri, seekor lembu belum tentu cukup,” katanya ketika meraikan hari lahir ibunya yang ke-115 di sini, minggu lalu.

Hadir sama meraikan Esah, Penyelia Pembangunan Desa dan Perhubungan Kemas, Dun Temangan, Mahiza Mohd Noor dan Pemaju Masyarakat Kemas, Rina Sulaiman serta Fairus Mohd Noor.

Tuan Bidah berkata, dia dan anak-anak terpaksa mengusung Esah untuk dimandikan atau ke bilik air memandangkan warga emas itu tidak mampu berjalan dan terpaksa mengesot untuk bergerak di dalam rumah.

Katanya, Esah memerlukan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya serta keluarga menguruskan ibunya itu.

“Kalau ada kerusi roda, kami juga boleh membawanya berjalan-jalan dan memberi peluang kepadanya menghirup udara segar dan tidak hanya duduk di atas rumah sahaja," katanya.


Sumber dari Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...