Selasa, 9 Disember 2014

MAUT 3 JAM LEPAS AJAK ANAK BERSIAR-SIAR

Sayu kenang pelawaan ayah

MAALON maut dirempuh kereta ketika melintas jalan.

Langkawi: Seorang anak perempuan tidak menyangka panggilan telefon oleh bapanya mengajak keluar bersiar-siar di Pekan Kuah menjadi perbualan terakhir apabila mangsa maut ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Persiaran Putra, di sini, kelmarin.,

Kejadian berlaku jam 5.40 petang menyebabkan mangsa, Maalon Ismail, 55, yang menetap di Kampung Lubuk Etok, Pulau Tuba, di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, mangsa yang juga nelayan dipercayai dirempuh kereta Proton Perdana ketika melintas jalan dari Kompleks Pekan Rabu, di sini, untuk ke kedai berhampiran bagi membeli barangan keperluan.

Anak tunggal mangsa, Norazwani, 17, berkata, tiga jam sebelum kemalangan, arwah bapanya menghubungi menerusi telefon bimbit untuk bertanya khabar sebelum mengajaknya keluar bersiar-siar sekitar Pekan Kuah.

“Dia bertanya sama ada saya mahu mengikutnya balik ke (rumah) Pulau Tuba.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat bersama arwah bapa untuk berjalan-jalan dan tidak menyangka ia percakapan terakhir saya dengan arwah bapa apabila arwah kini sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Langkawi (HL), di sini.

Norazwani yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, di sini, berkata, dia menerima berita kemalangan menimpa bapanya pada jam 6 petang menerusi bapa saudaranya.

Adik mangsa, Dahari, 39, berkata arwah anak sulung daripada empat beradik dan sangat rajin serta suka menolong orang sejak daripada kecil.

“Kalau ada kenduri di kampung, arwah antara orang bertungkus-lumus daripada pagi hingga petang dan selepas ini kami pasti akan merasai kehilangannya buat selama-lamanya.

“Kali terakhir saya bertemu dan bercakap dengan arwah abang adalah dua hari lalu dan dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ketara,” katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah, ketika dihubungi berkata ketika kejadian, mangsa melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Perdana V6 dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

“Mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar kereta itu yang datang dari arah jeti menuju ke Pekan Kuah dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke HL untuk bedah siasat, sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di kampung halaman di Pulau Tuba jam 10.40 malam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta berasal dari Sarawak berkenaan untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...