Ahli Kelss mendukung Amni sambil diperhatikan ibunya, Norhayati (kanan) yang turut menerima sumbangan daripada Kelss.
BACHOK – Sebuah keluarga terhimpit oleh desakan keperluan untuk penjagaan anak sulungnya yang menghidap sakit paru- paru kronik sejak lahir.
Nur Amni Fatini Mohd Saiful,2, hanya mempunyai berat badan 4.5 kilogram apabila dia tidak dapat menikmati makan dan minum seperti kanak- kanak lain berikutan penyakit yang dihidapinya itu.
Ibunya, Norhayati Abdullah,24, berkata, anaknya itu lemas dalam kandungan ketika proses bersalin yang menyebabkan komplikasi kesihatan sehingga kini.
“Setiap bulan kami perlu berulang- alik ke hospital Raja Perempuan Zainab II dan bila balik ke rumah kami perlu kami perlu sediakan sendiri susu khas untuk Amni yang bernilai sekurang- kurangnya RM170 setin. Susu ini diperlukan tiga tin sebulan. Itu belum termasuk beberapa peralatan lain yang diperlukan dan kos kami ulang- alik ke hospital.
“Kalau di hospital tak apalah kerana pihak hospital sediakan. Kerana perlu menjaga anak sejak lahir, saya juga terpaksa berhenti kerja di sebuah pasaraya. Suami saya, Mohd Saiful Asri Azmi,25, pula bekerja buruh dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM300 sebulan kerana perlu menghantar dan menemani kami ke hospital. Jadi dia tak masuk kerja penuh dan dapat gaji pun sikit sahaja,” katanya kepada Sinar Harian ketika diziarahi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu di Kampung Merabang, dekat sini.
Norhayati berkata, walaupun dia menerima bantuan bulanan daripada agensi berkaitan namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan anaknya.
Kini sejak pulang ke rumah Februari lalu, Amni perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan alat penyedut kahak yang dipinjamkan oleh pihak hospital untuk memudahkan dia bernafas.
Katanya, akibat masalah kesihatan itu, Amni juga sukar untuk tidur dan mudah terkena jangkitan kuman.
“Pernah suhu badannya mencecah 40 darjah celsius kerana demam dan ada kuman dalam darahnya. “Dahulu mata Amni tak nampak tetapi kini dia boleh melihat sedikit berbanding dahulu,” katanya.
Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun bank BSN 03009- 41-00001949- 1 di atas nama Norhayati Abdullah.
Sumber
Sinar Harian
mugo dipermudahkan., aminn
BalasPadam