Isnin, 22 Januari 2018

Bawa Isteri Pindah Untuk Elak Ganguan Penanggal

Kawasan perkampungan ini didakwa
 mempunyai gangguan penanggal 
yang tidak diberi makan oleh tuannya 
sejak akhir- akhir ini.


Cerita mengenai makhluk halus yang berkeliaran dalam dunia maju hari ini sewajarnya sudah tidak wujud sementelah umat Islam kini telah banyak berubah ke arah positif mengamalkan gaya hidup Islamik berbanding sebelum zaman merdeka.

Namun, hal itu seumpama hanya disembunyikan di sebalik pakaian moden sebaliknya masih ramai yang mempercayai dan mengamalkan perbuatan khurafat dan syirik bersekongkol dengan iblis dan jin. Baru- baru ini cerita mengenai bebola api yang mengganggu penduduk di sebuah perkampungan menuju ke Tok Bali.

Ia cerita kali kedua selepas Sinar Harian mendengar cerita yang sama dimaklumkan seorang pemancing yang melihat bebola api itu di atas kubur Bachok.
Difahamkan, bebola berapi itu lazimnya adalah jelmaan makhluk halus yang digelarkan sebagai penanggal bagi negeri di semenanjung atau balan- balan di Sabah.

Man (bukan nama sebenar),30, pada mulanya juga enggan mempercayai kewujudan hantu dan jembalang di kampungnya sementelah dia tidak pernah bertembung sebarang gangguan ketika pulang lewat malam ke rumah ibunya.

Tidak bawa isteri hamil ke kampung. 

Man berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membawa pulang isterinya yang  baru beberapa bulan hamil anak sulung pulang ke kampungnya.
Ketika tidur, dia tersedar apabila melihat isterinya mengigau dan meracau.

“Puas saya kejutkan dia tetapi dia tak sedar. Sudahnya saya jirus air pada mukanya barulah dia sedar.
“Dia tak ceritakan apa yang berlaku sebaliknya hanya menceritakan apa yang berlaku selepas kami pulang ke rumah sewa di Kota Bharu.

Isteri kata ketika tidur dia didatangi makhluk penanggal yang mahu mengambil anak dalam kandungan. Memang di depan rumah kami nampak ada titis darah keesokan hari selepas apa yang menimpa isteri,”katanya kepada Sinar Harian.

Tidak diberi ‘makan’.

Man yang gusar mengenai perkara itu kemudian berkongsi apa yang menimpa isterinya dengan ibu saudaranya yang tinggal di kampung yang sama. Hal itu disahkan ibu saudaranya yang menyatakan penanggal itu mempunyai tuan namun tidak diberi ‘jamuan’.

“Ibu saudara saya sebelum ini sudah lima kali keguguran. Ibu saudara ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, namun saya tidak dapat dipastikan apakah ia juga mempunyai kaitan dengan penanggal berkenaan,”katanya. Kini, dia mengetahui penanggal itu mempunyai tuan dan pernah juga mengganggu penduduk kampung yang berbadan lemah dan tidak sihat.

Katanya, seorang warga emas penghidap kencing manis, darah tinggi dan pelbagai penyakit lain juga pernah diganggu makhluk itu.
Ia datang pada waktu malam mengetuk dinding dan memanggil nama wanita berkenaan dari luar rumah.

Makhluk halus itu wujud.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan komen daripada Imam Masjid Naim Jelawat, Mohd Kamil Abdul Hamid mengenai kewujudan makhluk ghaib yang dikatakan masih berkait rapat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Beliau berkata, makhluk halus dan sihir itu telah lama wujud sejak zaman nabi dahulu kala dan ada nabi yang pernah disihir oleh kaum musyrikin. Menurutnya, perkara itu terjadi apabila mereka bersahabat dengan iblis dan jin.

“Namun dengan izin ALLAH S.W.T perkara itu terjadi. Kalau ALLAH S.W.T tak izinkan ia tak kan terjadi juga walau apa pun yang dilakukan.
“Di sini pun ada juga benda yang dijumpai ketika orang kampung membersihkan tanah perkuburan berdekatan.
Anak patung ini ditemui penduduk 
kampung di sebuah tanah 
perkuburan ketika bergotong- royong 
membersihkan kubur di sebuah 
kampung di Jelawat baru- baru ini.

Penduduk yang jumpa benda itu bawa tunjuk kepada saya. Ada anak patung yang dibalut kain hitam, dicucuk jarum di dada. Tangan dan kakinya diikat. Ada gambar diikat bersama patung itu tetapi gambar itu sudah tidak jelas,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau percaya, patung itu dibuat menggunakan ilmu hitam untuk santau seseorang dan gambar yang terdapat pada anak patung itu mungkin gambar seseorang yang ingin ditujukan perbuatan sihir itu. Perlu hati- hati dalam kehidupan seharian.

Mohd Kamil berkata, ia membuktikan dalam dunia hari ini masih ada yang menuntut ilmu sihir sedemikian dan bersekongkol dengan iblis.
“Dulu kita dengar santau dibuat menggunakan tanah kubur sekarang mereka buat pakai patung pula. Kita perlu berhati- hati dalam persekitaran hari ini.

Ada orang dengki kerana kerjaya kita, ada orang dengki dengan kedudukan kita, semuanya tak mustahil.
“Namun dalam masa yang sama kita tak boleh leka dan boleh ambil langkah pencegahan melalui bacaan doa harian dan ayat- ayat rukyah.

Contohnya amalan membaca ayat kursi, dua ayat terakhir surah al- Baqarah serta membaca bismillah setiap kali masuk rumah, naik kereta dan sebagainya agar tidak dituruti oleh makhluk halus. Namun, perkara begini lazimnya dipandang remeh oleh ramai orang sebagai pendinding diri,”katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...