Selasa, 2 Januari 2018

TERTIPU DENGAN PUSAT RAWATAN ALTERNATIF

SATU LAGI KISAH BENAR YANG INGIN SAYA KONGSIKAN

Pesakit ini ada memberi komen berkaitan 'posting' saya minggu lepas. Komen beliau kelihatan sangat marah. Pada awalnya saya dan Bel Nawhen ingatkan beliau marahkan kami yang membongkar cerita “Nyawa Si Kecil Yang Hilang”...
Rupa-rupanya beliau juga pernah mengalami pengalaman yang sama dan hingga kini menanggung kesan daripada pengambilan ubat daripada pengamal tersebut.

Melalui “private message” kami dengan beliau, beliau kongsikan sedikit peristiwa yang telah menimpa diri beliau. Pesakit ini pergi mendapatkan rawatan di sebuah premis pengamal perubatan alternatif dan beliau juga tidak datang temujanji rawatan di HKL hampir setahun lamanya kerana menjalani rawatan di premis ini. Pengamalnya menyatakan ubat yang diberikan mampu menurunkan tekanan darah tinggi dan tidak perlu buat dialisis.

Oleh kerana terperdaya dan dalam keadaan terdesak untuk sembuh, pesakit ini telah berbelanja hampir RM20K mendapatkan rawatan di premis perubatan alternatif ini. Pesakit ini juga menyatakan bahawa setiap kali pergi mendapatkan rawatan di premis tersebut, pengamalnya akan menukarkan ubat lain walaupun ubat terdahulu yang diberikan masih belum habis dimakan.

Bukan itu sahaja, malah pesakit menceritakan bahawa beliau sudah sampai merangkak dan seperti nyawa-nyawa ikan ke premis tersebut dengan kaki yang bengkak (saya anggap ia bengkak air; edema) dan sukar bernafas, namun pengamal perubatan alternatif itu menyatakan bahawa keadaan itu adalah disebabkan berat badan berlebihan.

Akhirnya pesakit dimasukkan ke ICU HKL dengan bacaan creatinine yang naik mendadak (1000++) kesan selepas mengambil ubat yang diberikan oleh pengamal perubatan alternatif tersebut. Semasa berada di wad (HKL), pengamal perubatan alternatif itu masih tidak membenarkan pesakit ini untuk membuat dialisis.

Dalam keadaan ini pesakit keliru dan nasib baik Ketua Jururawat yang bertugas di wad tersebut menghubungi sendiri pengamal perubatan alternatif tersebut dan memarahi beliau kerana menghalang pesakit mendapatkan rawatan sepatutnya di hospital dan akhirnya sehingga kini pesakit ini menjalani dialisis akibat kerosakan buah pinggang yang berlaku.

***********************************
Dalam situasi seperti ini banyak sudut perlu kita lihat:

1. Pesakit terdesak untuk sembuh

2. Pesakit cari rawatan alternatif

3. Pesakit sanggup berhabis ribuan ringgit untuk sembuh semula

4. Pesakit sendiri yang mengambil risiko untuk tidak datang menjalani rawatan di hospital hampir setahun lamanya

5. Kalau begitu, mungkin pesakit tidak makan ubat yang diberikan oleh HKL dan Cuma bergantung kepada ubat yang diberikan oleh pengamal perubatan alternatif itu sahaja.

6. Keadaan penyakit menjadi bertambah melarat sehingga menunjukkan tanda-tanda kerosakan buah pinggang

7. Mungkin disebabkan kesan ubat-ubatan yang diambil daripada pengamal perubatan alternatif itu, ATAU...

8. Mungkin ia berpunca daripada keadaan penyakit yang tidak terkawal akibat tidak hadir temujanji rawatan di HKL dan membawa kepada komplikasi penyakit iaitu kegagalan buah pinggang.

9. Setelah penyakit semakin teruk, tanda-tanda gejala mula kelihatan seperti yang digambarkan pesakit iaitu bengkak air pada kaki (edema) dan sukar bernafas.

10. Kini pesakit terpaksa menjalani dialisis akibat kerosakan buah pinggangnya yang mungkin disebabkan oleh pengambilan ubat yang diberikan oleh pengamal perubatan alternatif tersebut atau tindakan beliau sendiri yang meninggalkan rawatan awal diberikan oleh HKL sehingga membawa kepada komplikasi penyakit akibat terdesak dan percaya kata-kata pengamal perubatan alternatif tersebut yang menjanjikan penyembuhan.

***********************************
IKHTIBAR

Sebenarnya kisah ini tidak asing bagi kami pengamal professional kesihatan. Malah rakan-rakan saya yang bertugas di wad kerap melihat situasi seperti ini dari masa ke semasa.

Nak salahkan pesakit 100% pun susah juga kerana mereka ini adalah dalam golongan yang terdesak mencari penyembuhan kepada penyakit yang mereka hidapi. Maka berikut adalah nasihat saya:

1. Pertama sekali, pesakit perlu terima HAKIKAT sebenar sekiranya disahkan menghidapi sesuatu penyakit

2. Dapatkan informasi yang tepat berkaitan penyakit tersebut dan rawatan ubat-ubatan jika ada daripada doktor yang merawat dan ahli farmasi yang membekalkan ubat-ubatan.

3. Mesti tahu sama ada penyakit yang dihidapi ini ada peluang untuk sembuh semula atau sehingga kini tiada penyembuhan dijumpai sebagai rawatan. Contohnya penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi yang tiada penyembuhan sehingga kini.

4. Maka setelah mengetahui status penyakit, kena tahu pula tujuan rawatan ubat-ubatan diberikan. Ia bertujuan untuk menyembuhkan, mengawal penyakit atau mengurangkan tanda-tanda gelaja penyakit.

5. Dapatkan informasi untuk perkara 3 & 4 di atas daripada pengamal kesihatan yang sah seperti doktor perubatan dan ahli farmasi yang berdaftar. Elakkan bertanya atau mendapatkan informasi daripada yang bukan ahlinya seperti rakan-rakan, kaum keluarga, jiran-jiran yang tiada kelayakan bidang kesihatan dan lebih bahaya lagi jika bertanya kepada penjual produk mahupun pengamal perubatan alternatif yang tidak berdaftar atau tidak bertauliah.

6. Elakkan mengambil risiko dengan menggunakan kaedah “Cuba-cuba” atau mudah percaya dengan iklan promosi atau testimoni yang diberikan oleh penjual produk.

7. Sekiranya anda pesakit yang menghidapi penyakit kronik, apa sahaja tindakan untuk mengambil apa sahaja ubat atau produk mahupun rawatan alternatif, bincang dahulu dengan doktor yang merawat. Jangan takut untuk berbincang dan anda perlu ada kepercayaan kepada doktor yang merawat. Bukan maksud saya hingga menganggap doktor itu tuhan, namun percaya bahawa doktor akan melakukan yang terbaik untuk plan rawatan penyakit anda dan Allah jua yang menuntukan kejayaan rawatan tersebut.

8. Namun perlu diingatkan juga, kini terdapat juga pengamal kesihatan yang sudah terpesong daripada landasan sebenar dalam bidang perubatan di mana mereka juga mula menjual produk dan mengambil keuntungan daripada hasil penjualan produk tersebut. Termasuklah menjadi agen, atau jurucakap terhadap sesuatu produk. Hati-hati dengan pengamal kesihatan seperti ini kerana informasi yang diberikan mungkin berat sebelah terhadap produk jualan mereka.

9. Yang terbaik adalah tanya pada professional kesihatan yang sebenarnya dan mereka yang tidak menjual produk atau menjadi duta (juru cakap) mempromosikan produk. Bertanya kepada yang ahli. Jika anda ada masalah buah pinggang contohnya, tanya kepada pakarnya seperti Dr. Rafidah Abdullah atau pakar-pakar di hospital. Bukan tanya kepada pengamal perubatan alternatif yang tidak bertauliah.

10. Ramai pesakit yang penyakitnya terkawal adalah disebabkan oleh kepatuhan terhadap rawatan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor di hospital. Banyak juga kes yang kami lihat pesakit yang gagal dan hadir dengan komplikasi penyakit yang teruk adalah disebabkan oleh tidak patuh kepada pengambilan ubat-ubatan yang diberikan.

Maka pilihan adalah di tangan pesakit. Anda bertanggungjawab terhadap diri anda sendiri dan keputusan anda sendiri, Jangan biarkan orang lain menentukan kawalan penyakit anda rawatan yang sepatutnya anda ikuti. Bincang dengan pakar dan buat keputusan yang bijak.






Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
Sumber Fb Dziehan Mustapa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...