Ahad, 29 Oktober 2017

Pukat Tarik- Rezeki Tambahan Utk Penduduk Pesisir Pantai

Bermula awal Mei hingga Oktober, angin sepoi-sepoi mendinginkan suasana, kelazimannya waktu inilah penduduk pesisir pantai akan mula berkumpul di pantai bagi menarik pukat beramai- ramai, sama ada di sebelah pagi atau petang.
Bukan sahaja nelayan, malahan penduduk pelbagai latarbelakang juga tidak ketinggalan untuk turut serta berganding bahu membantu menarik pukat.

Bantu rakan tarik pukat.

Bagi seorang pekerja swasta, Hashim Sidek,53, berkata, dia hanya membantu rakan- rakannya menarik pukat petang semalam selepas melihat mereka menarik pukat.
“Seronok melihat ikan yang banyak berada di pesisir pantai ini. Saya hanya bantu rakan- rakan yang ada pukat ini. Semalam pun nampak dah ada orang yang tarik pukat di sini.
“Biasanya musim ikan dapat ditangkap di pesisir begini bermula dari Mei hingga November iaitu ketika air tenang,”katanya yang tinggal di Kampung Limau Nipis, dekat sini.
Hashim berkata, mereka akan bawa pukat sendiri untuk tangkap ikan dan ia juga boleh dikendalikan sendirian namun kerja menarik pukat secara beramai- ramai akan lebih mudah dan cepat.

Hobi waktu petang.

Manakala, bagi Mohd Razmi Salleh,58, aktiviti menarik pukat itu hanyalah sebagai hobi di waktu petang sahaja.
Menurutnya, antara ikan yang diperolehi di tepi pantai bersaiz lebih kecil namun pelbagai jenis seperti cencaru, kembung, selayang dan selar kuning.
“Petang ini ada dapat ikan kembung, semalam ada juga ikan cencaru. Kami tarik pukat ini sebagai hobi waktu petang sahaja.
“Biasanya orang yang tinggal 1 kilometer dari pantai akan tahu aktiviti musim ini untuk tangkap ikan pesisir laut,”katanya yang turut dibantu anak, Mohd Izaidi,27, dan Mohd Izudin,15.

Ikut bapa isi masa lapang.
Bagi Mohd Izaidi pula, hobi bapanya itu membawa banyak manfaat di samping untuk mengisi masa lapang mereka pada waktu petang.
“Bukan selalu kami boleh tarik pukat begini kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca dan waktu luang kami.
“Ia juga bergantung kepada musim ikan yang terdapat di pesisir pantai. Ayah bukan niat nak jual pun tetapi untuk makan kami sahaja. Kalau ada orang nak beli ayah tak tetapkan harga tetapi ikut ikhlas orang beri sahaja dan biasanya memang murahlah,”katanya.
Aktiviti menarik pukat ini bukan sahaja dilakukan di sekitar kawasan Telong malah minggu lalu pengunjung Pantai Irama juga memperoleh rezeki yang sama.

Kanak- kanak turut bantu bapa.
Selain golongan dewasa, dari kejauhan terlihat dua kanak- kanak asyik mengutip ikan untuk dimasukkan ke dalam jaring dan kemudian membawa ikan- ikan itu untuk dibasuh sebelum dijual kepada orang ramai.
Muhammad Zulhilmi Mohd Adnin,8,berkata, dia hanya membantu bapanya mengutip ikan pada hujung minggu.
“Saya dah biasa macam ni bantu bapa. Memang adakalanya banyak ikan dan orang ramai yang kebetulan ada di sini pun minta untuk beli ikan. Saya kutip dan basuh dulu ikan sebelum diberikan kepada pembeli.
“Kadang- kadang ada juga rakan- rakan lain datang tengok di sini dan mereka pun gembira dapat tolong kutip ikan ini,”kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua ini.

Rezeki niat sedekah berjaya tarik sekawan ikan.
Sementara itu, baru- baru ini di pesisir Pantai Irama, sekumpulan sahabat menerima habuan besar apabila beratus kilogram ikan tamban nipis berjaya dinaikkan mereka.
Nik Zukrie Nik Omar,37, berkata, sudah menjadi kelaziman mereka yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk menarik pukat bagi mengisi masa lapang hujung minggu.
Sebelum melabuhkan pukat hari itu, rakannya, M
​​
ohd Zawawi Alias,26, telah memasang niat untuk sedekahkan ikan kepada pengunjung sebelum turun ke laut.
“Rakan kami, Mohd Zawawi telah berniat untuk sedekahkan ikan kepada orang ramai jika dapat banyak. Alhamdulillah ianya dimakbulkan  dan kami dapat mungkin lebih 500 kilogram ikan tamban nipis atau ada sesetengah orang panggil ikan belalak mata.
“Kami tak tahu sebenarnya berjaya tangkap sekawan ikan. Untuk likung pukat tarik ini dua rakan turun dalam air separas dada ke sebelah kiri dan dua orang ke sebelah kanan. Bila dah separuh jalan tarik barulah kami sedar ia semakin berat dan kami minta tolong orang ramai untuk tarik sama. Inilah kali pertama kami dapat ikan sebanyak ini bila tarik pukat dan kami ambil sedikit sahaja selebihnya kami sedekahkan kepada orang ramai di situ,”katanya yang sudah tujuh tahun menarik pukat di situ setiap hujung minggu.
Selain Nik Zukrie dan Mohd Zawawi rakan- rakannya yang turut serta menarik pukat ialah Mohd Sabri Makhtar, Aminuddien Ismail dan Nasaruddin Mohd Nazri.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Bachok turut serta meninjau hasil tangkapan rakan mereka berdekatan menara tinjau APM di Pantai Irama.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan daripada Muhammad Zulhilmi dan bapanya.

Hashim Sidek (kanan) membantu rakannya menaikkan pukat tarik di pantai Kampung Aur.​

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengutip ikan yang dinaikkan sekumpulan sahabat di Pantai Irama, baru- baru ini.
Muhammad Zulhilmi membersihkan ikan dari pasir pantai bersama rakannya.​

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...