Rabu, 3 Januari 2018

KELUARGA MALU GAMBAR ANAK TULAR


Setelah isu kanak-kanak perempuan yang berpakaian lusuh pada hari pertama persekolahan tular, banyak pihak telah memandang serius isu ini dan cuba untuk membantu. Tak kurang juga dengan ramai pihak yang mengecam dan menyalahkan banyak pihak dalam isu ini.

Hari ini keluarga ini telah dikunjungi oleh pelbagai agensi atas rasa tangungjawab untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah sebenar yang dihadapi oleh keluarga adik Natasya.. 

Oleh kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan gambar adik Natasya, keluarga mengakui malu berdepan dengan masyarakat. Kerana gambar anaknya telah tersebar ke seluruh negara.  

Bachok - Keluarga murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak yang menjadi mangsa tular kononnya memakai pakaian dan kasut buruk pada hari pertama persekolahan, malu dengan penularan berita berkenan.

Mazawati Ismail,42, berkata, dia hanya mengetahui mengenai gambar anaknya, Nadia Natasha Ibrahim,12, ditularkan selepas didatangi seorang guru sekolah anaknya petang kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini seorang lelaki menghubunginya dan memaklumkan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga mereka.
“Ada seorang lelaki datang beberapa hari lalu cakap nak beri bantuan, saya tak tahu dia akan sebarkan cerita mengenai keluarga kami begini. 

Memang kami agak susah, saya kerja mencari daun nipah untuk dibuat daun rokok dan adakalanya mencari tiram jika tak hujan. Namun kami tak pernah minta kisah keluarga disebar begini, kami malu.

“Akibatnya anak saya pun malu untuk ke sekolah hari ini. Kami bukan tak ada duit cuma belum berkesempatan untuk ke kedai beli kasut. Saya dah ajak dia ke kedai tetapi dia tak mahu. 

Jadi hari tu saya hanya beli untuk yang adiknya Che Akma Arini,8, sahaja. Untuk dia kena tunggu kakak dia bawa ke kedai dalam masa terdekat ini,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sador.

Kisah daif Nadia Natasha ini ditularkan seorang lelaki dalam laman sosial ‘facebook’ kelmarin termasuk dalam kumpulan ‘whats app’ dan menjadi bualan hangat netizen.

Ia membuatkan pelbagai agensi hadir untuk melihat sendiri keadaan keluarga ini yang dikatakan amat daif dan tinggal di rumah yang dibina di atas rizab tanah perkuburan.
Nadia adalah anak keenam daripada lapan beradik. 

Bapanya, Ibrahim Donik,64, bekerja mengambil upah menjaga ternakan biri- biri dengan pendapatan kira- kira RM500 sebulan.
Nadia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bapanya turut menerima bantuan RM300 sebulan.

Selain dua anaknya yang bersekolah, anak bongsu pasangan ini, Aiman Zakwan,5, menghidap penyakit asma sejak berusia tiga bulan dan perlu bergantung dengan ubat.

 Manakala, Guru Besar SK Pantai Senak, Mohd Daud Salleh berkata, tiada isu mengenai murid berkenaan diabaikan kerana dia adalah penerima tetap pelbagai bantuan sama ada dari pihak sekolah dan JKM.

“Murid ini adalah tersenarai dalam penerima pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rangkaian Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan zakat setiap kali musim perayaan,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Dun Tawang, Mohd Azman Mohd Noor berkata, pihaknya terkejut dengan kisah yang ditularkan itu dan hadir ke kediaman keluarga itu untuk lihat sendiri keadaan mereka.

“Hari ini kita lihat ramai yang datang ziarah keluarga adik Nadia Nastasya termasuk agensi kerajaan pun datang seperti Pejabat Pendidikan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), NGO, dan saya mewakili Amanah Kelantan dapat lihat kehidupan mereka ini amat daif.
“Dengan tersebarnya berita ini kita harapkan sesiapa yang ingin bantu boleh sama- sama berganding bahu hulurkan bantuan. 

Kerajaan perlu ambil perhatian mengenai keluarga ini agar dapat kehidupan lebih baik. Mungkin MAIK boleh iktiar tanah rizab kubur ini untuk kediaman tetap mereka,”katanya ketika menziarahi keluarga berkenaan semalam.

Ibrahim (kanan), Mazawati (tengah) dan anaknya, Nadia Natasha (kiri) malu dan sedih apabila kisah keluarganya ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial sejak kelmarin.

Mazawati membuat daun rokok untuk menyara keluarganya apabila tidak dapat turun ke sungai mencari tiram ketika musim hujan.

Keadaan rumah keluarga Nadia Natasha yang dibina di atas rizab tanah perkuburan Kampung Sador.
Nadia menunjukkan kasut buruknya yang ditularkan dalam laman sosial kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...