Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok memeriksa nadi mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.
BACHOK – Seorang wanita peniaga kedai makan berdekatan simpang Y Kampung Teluk dekat sini maut selepas dilanggar ketika cuba menyelamatkan anak kucingnya di tengah jalan kira- kira jam 8.50 malam kelmarin.
Menurut saksi yang enggan dikenali, wanita berusia sekitar 50-an itu dikatakan dilanggar sebuah pacuan empat roda berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran negeri Johor.
Mangsa, Nik Yam Nik Lah,53, beralamat di Kota Bharu adalah seorang peniaga kedai makan di simpang tiga Y di Kampung Teluk sejak dua bulan lalu.
“Masa tu pacuan empat roda itu cuba memotong kereta saya di selekoh simpang Y dan ketika itulah dia melanggar mangsa. Saya berhentikan kereta di tepi dan lihat seorang wanita terbaring di tengah jalan.
“Pacuan empat roda itu terus melarikan di masuk ke arah perumahan kos rendah di lorong berdekatan. Nombor plat yang patah di jumpai di kawasan itu rasanya bukan milik pacuan empat roda itu sebab nombor itu bukan plat Johor,”katanya.
Manakala, seorang penduduk pula berkata, anak mangsa memaklumkan ibunya tergesa- gesa melintas jalan kerana ingin mengambil anak kucing mereka yang berada di tengah jalan.
Mangsa dikatakan ibu tunggal menyewa di situ sejak dua bulan lalu bersama dua anak lelakinya yang berusia sekitar 7 hingga 10 tahun.
“Makcik tak pula tanya nama dia apa tetapi selalu juga singgah beli nasi pagi di situ. Malam tadi lepas turun madrasah depan tu, makcik terdengar bunyi dentuman kuat dan orang menjerit.
“Makcik terus datang sini tengok mangsa dah terbaring tengah jalan. Dia bukan orang sini katanya orang Kandis. Hari ini dia tak berniaga sebab katanya tak sihat. Tak sangka pula jadi macam ni,”katanya.
Manakala Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kes berkenaan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan Isuzu D- max itu sudah membuat laporan di balai polis jam 1 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Anak kucing yang dikatakan cuba diselamatkan Nik Yam namun berakhir dengan tragedi maut.
Sumber : Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan