Junus bersama kucing unik
Yg memiliki 24 jari...
BAHAU - Sepasang suami isteri di Kampung Kuala Jempol, di sini sanggup berhabis duit RM250 sebulan semata-mata untuk membeli makanan dan susu khas bagi dua ekor kucingnya yang unik dan istimewa kerana mempunyai banyak jari.
Ibu kucing peliharaan Junus Said, 59, dan Syahraldia Muhammad Hasan, 44, berusia tiga tahun dan mempunyai 24 jari manakala anaknya berusia dua tahun mempunyai 25 jari.
Junus berkata, ibu kucing peliharaan mereka sudah tiga kali melahirkan anak dan semua anak yang dilahirkan mempunyai jari lebih.
“Individu yang berminat dengan kucing ini berhasrat untuk membelanya selepas melihat keganjilan pada jari kucing tersebut.
"Namun hanya seekor yang masih hidup selepas saya berhajat untuk menyerahkannya kepada orang lain,” katanya.
Kata Junus, mereka membela ibu kucing berkenaan sewaktu tinggal di Karak, Pahang tiga tahun lalu.
“Pelik apabila kucing ini mati sebelum sempat diserahkan kepada orang, malah ada yang mati selepas diambil oleh pemilik baharu," katanya.
Tambahnya, ibu kucing dipanggil Eng dan anaknya, Merah sering menjadi peneman mereka berdua.
“Merah sangat manja dengan semua berbanding Eng yang akan melarikan diri bila menyedari kehadiran orang lain di rumah ini," katanya.
Menurut Junus, ada individu yang sanggup datang ke rumah mereka semata-mata mahu meminjam ibu kucing itu untuk dikacukan dengan kucing mereka.
"Malah ada juga yang sanggup menawarkan harga sehingga RM1,000 tetapi saya tidak berhajat untuk menjualnya kerana terlalu sayangkan kucing ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan