Rupa jin yang sering datang
dalam fikiran Mat
Mat (bukan nama sebenar),berusia 28 tahun berasal dari sebuah kampung berdekatan Jelawat adalah anak keempat daripada lapan beradik.
Mengetahui mengenai susur galur keluarganya, dia bukan orang susah, malah sudah banyak wang dihabiskan ibu bapanya untuk mengubati Mat sejak beberapa tahun lalu, namun lazimnya ia hanya bertahan seketika sahaja sebelum Mat kembali menagih.
Ada jin suruh ambil dadah.
Mat berkata, dia mula terlibat dengan gejala dadah pada usia 14 tahun dan sehingga kini dia masih gagal mengatasi masalah ketagihan itu berikutan dakwaan ada ‘jin’ yang mengarahkannya untuk terus menagih dadah.
Mat berkata, dia pernah merantau sehingga ke Kuantan, Pahang untuk bekerja namun kerja yang dilakukannya itu hanya separuh jalan apabila dia gagal mengawal kemahuan terhadap dadah.
“Dulu saya pernah kerja bahagian baiki barangan elektrik di Kuantan namun satu ketika kepala saya ‘jammed’, saya jadi ‘blank’ tak boleh kerja dan ambil dadah semula.
“Lepas tu saya balik rumah dan keluarga bawa saya berubat. Saya tak boleh kawal kemahuan terhadap dadah.
Saya nampak ada jin yang suruh saya ambil dadah. Kalau saya tak ambil dadah, kepala saya jadi tak betul. Lepas berubat saya pulih seketika namun bisikan jin itu datang lagi. Dia kata kalau saya ambil dadah saya akan kembali sihat,”katanya ketika ditemui di Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok.
Nampak jin dalam fikiran.
Mat berkata, dia hanya mendapat pendidikan setakat tingkatan dua di sebuah sekolah di Pengkalan Chepa dan di situlah dia mula ponteng kelas dan masuk hutan untuk menghisap rokok.
Dia juga pernah dihantar ke sebuah pondok di Tunjung seketika sebelum keluar dan ketagih dadah semula.
“Mak ada beri minum air bacaan yasin dan ayat suci al- Quran dan ia mengurang sedikit ketagihan saya. Namun, bisikan seperti itu juga akan muncul ketika saya sedang bertasbih, sedang solat dan ketika berbual- bual.
“Ada ketikanya ia munculkan makhluk besar dengan wajah berbulu hitam seperti beruk besar tetapi saya tak takut. Kalau saya hisap dadah dia tak ganggu, tetapi kalau saya solat dan berzikir ia akan ganggu, dalam mimpi pun ada sehingga saya sering terkejut dalam tidur,”katanya yang telah mengambil pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan pil kuda.
Mat mendakwa, hasil pertemuan dengan bomoh mengatakan syaitan dan dalam hatinya sudah tiada tetapi masih ada di dalam fikirannya.
Dia mendakwa, bomoh mengatakan jin itu terlalu ramai dan hanya sebahagian sahaja yang dapat dikawalnya.
“Saya solat lima waktu tetapi ada kalanya kalau saya tak dapat kawal diri, jin akan paksa saya mengamuk tendang pintu, tumbuk mesin basuh dan bila dengar orang bercakap pun saya rasa nak marah.
“Saya tak boleh bunyi bising atau pelik- pelik nanti saya terkejut dan ia membuatkan jin itu mengamuk,” katanya.
Rujuk pakar psikiatri.
Mat berkata, kini dia juga lebih sudah setahun dirujuk ke pakar psikiatri di hospital Kota Bharu.
“Orang kata ‘benda’ tu tak boleh dihambat tetapi kena selalu baca ayat suci al -Quran. Malangnya saya hanya tahu baca sampai ‘kulya’ (surah al- kafirun) sahaja. Nak menghafal al- Quran pun susah bila macam ni.
“Saya pun kena ambil ubat setiap hari dan saya ingat dah tak mahu lagi terlibat dengan dadah ni. Saya jarang ke masjid sebab takut ganggu orang dan tak sihat sangat. Muka saya rasa sakit macam ditarik, kadang- kadang sakit usus, sering sawan dan lenguh badan.
Saya cuba cari kudrat macam dulu untuk pulih,”katanya yang pernah ditangkap polis pada 2015 dan kes mencuri di sebuah restoran di Pasir Mas.Hajat mahu bekerja, beli kereta dan kahwin.
Bercakap mengenai matlamat masa depannya Mat berharap dia akan pulih sepenuhnya dan ingin bekerja untuk mencari pendapatan sendiri sebelum membeli kereta dan mendirikan rumahtangga.
“Banyak benda yang saya dah tertinggal, dah lama saya tak puasa sebab tak boleh tinggal rokok dan dadah.
Saya harap sangat dapat hafal al- Quran dan bantu ibu bapa.
“Jadi saya juga harap remaja di luar sana tak cuba dadah apa lagi merokok. Semua itu tak bermanfaat dan merosakkan masa depan,”ujarnya.
Dadah jadikan halusinasi.
Sementara itu, Pegawai Pemulihan AADK Bachok, Hazyatulnur Mohd Razali berkata, dadah menjadikan seseorang penagih berhalusinasi akibat kerosakan saraf otak.
“Ramai yang jadi begini tetapi dia (Mat) mudah beri kerjasama. Dia pernah ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.
“Dia tak pernah marah atau mengamuk ketika ditangkap. Ini adalah salah satu kes yang kami selia. Ada kes yang lebih teruk sampai nak bakar rumah di Kampung Merabang. Ada pula yang perempuan sampai kena Aids, ini semua kerana dadah,”katanya.
Justeru, Hazyatulnur berkata, ibu bapa dan masyarakat perlu memberi kerjasama penuh kepada AADK untuk menahan penagih dadah bagi dihantar untuk rawatan dan pemulihan dalam usaha menghapuskan dadah di daerah ini.
Mat tidak kekok memberikan kerjasama kepada Hazyatulnur dan kakitangan AADK Bachok yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan