Isnin, 25 September 2017

PENYAMUN KENALKAN DIRI SEBELUM MENYAMUN



Keratan akhbar berhubung kejadian tersebut, semalam.

RANTAU PANJANG – “Tiap kali terserempak atau disapa orang tidak dikenali terutama lelaki, saya pasti anggap mereka jahat,” kata mangsa samun di puncak Bukit Keluang, Besut, Terengganu, petang kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai kak Jah, 55, berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan itu kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpanya.

“Saya pelik juga, kerana masa disamun, saya tak adalah rasa takut sangat, cuma ketika itu saya hanya fikirkan keselamatan anak dan dua lagi rakannya.

“Tapi dua hari selepas kejadian, timbul perasaan tidak selesa dan menganggap semua orang yang mendekati saya, adalah orang jahat,” katanya.

Kak Jah berkata, bagi mengatasi perkara itu, dia cuba memujuk hati dan bermuhasabah diri agar tidak terlalu mengikut emosi.

Disebabkan kejadian ini juga dia berkata, selepas ini dia tidak mungkin akan mendaki bukit apatah lagi gunung sampai bila-bila.

Menurutnya, dia tidak menyangka perbualan biasa dengan dua lelaki ketika mendaki puncak Bukit Keluang, berakhir dengan kejadian samun.

Menceritakan detik cemas itu, katanya, lelaki itu pada mulanya memuji keberanian mereka, mendaki sehingga ke puncak ketika hari Jumaat.

Malah katanya, lelaki itu juga memuji keberanian mereka mendaki tanpa ditemani lelaki.

Lama selepas itu katanya, barulah lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai penyamun dan menggesa mereka serahkan semua barang berharga.

"Bagi mengelak kejadian tidak diingini, kami semua akur kehendak penjenayah itu," katanya.

Sementara itu, anak mangsa yang mahu dikenali Min, 21, berkata, dia dan keluarganya kini berasa tidak selamat lagi bila berada di luar apabila maklumat peribadi mereka tersebar di laman sosial

"Saya terkejut apabila mendapati maklumat peribadi ibu termasuk laporan polis tersebar dalam aplikasi WhatsApp.

"Bukan sahaja nama penuh, Min berkata, alamat rumah, nombor telefon dan nombor kad pengenalan disebarkan tanpa sebarang tapisan," katanya.

Menurutnya, laporan berkenaan tidak sepatutnya bocor kerana ia menjejaskan keselamatan mangsa yang terlibat.

“Jika penyamun itu baca, bagaimana, adakah kami akan jadi mangsa lagi tapi kali ini, kejadiannya di rumah pula.

“Sekarang saya tak rasa selamat lagi, nak keluar rumah pun risau, sebab penjenayah kenal kita, tapi kita belum tentu kenal mereka,” katanya.

Disebabkan kejadian ini juga, Min berkata, dia tidak berani untuk mendaki bukit atau beriadah di tempat awam.

Ketika kejadian katanya, dia tidak mampu melawan kerana lelaki tersebut mempunyai senjata dan mungkin bertindak agresif.

Malah Min berkata, dia juga risau dengan ibu dan dua rakannya yang turut menjadi mangsa.

Kelmarin Sinar Harian  melaporkan empat pendaki wanita berdepan detik menakutkan apabila mereka diugut rogol dan bunuh sebelum disamun dua lelaki di puncak Bukit Keluang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang suri rumah berusia 55 tahun dari Pasir Mas bersama seorang anak perempuannya berusia 21 dan dua rakan perempuan anaknya berusia 24 dan 39 tahun disamun lelaki bersenjata pisau dan kayu.

Sumber
SinarHarian

NOOR AZLIDA ALIMIN
25 SEPTEMBER 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...