Isnin, 26 September 2016

Maut Ketika Cuba Selamatkan Kucing

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok memeriksa nadi mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

BACHOK – Seorang wanita peniaga kedai makan berdekatan simpang Y Kampung Teluk dekat sini maut selepas dilanggar ketika cuba menyelamatkan anak kucingnya di tengah jalan kira- kira jam 8.50 malam kelmarin.

Menurut saksi yang enggan dikenali, wanita berusia sekitar 50-an itu dikatakan dilanggar sebuah pacuan empat roda berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran negeri Johor.

Mangsa, Nik Yam Nik Lah,53, beralamat di Kota Bharu adalah seorang peniaga kedai makan di simpang tiga Y di Kampung Teluk sejak dua bulan lalu.

“Masa tu pacuan empat roda itu cuba memotong kereta saya di selekoh simpang Y dan ketika itulah dia melanggar mangsa. Saya berhentikan kereta di tepi dan lihat seorang wanita terbaring di tengah jalan.

“Pacuan empat roda itu terus melarikan di masuk ke arah perumahan kos rendah di lorong berdekatan. Nombor plat yang patah di jumpai di kawasan itu rasanya bukan milik pacuan empat roda itu sebab nombor itu bukan plat Johor,”katanya.

Manakala, seorang penduduk pula berkata, anak mangsa memaklumkan ibunya tergesa- gesa melintas jalan kerana ingin mengambil anak kucing mereka yang berada di tengah jalan.

Mangsa dikatakan ibu tunggal menyewa di situ sejak dua bulan lalu bersama dua anak lelakinya yang berusia sekitar 7 hingga 10 tahun.

“Makcik tak pula tanya nama dia apa tetapi selalu juga singgah beli nasi pagi di situ. Malam tadi lepas turun madrasah depan tu, makcik terdengar bunyi dentuman kuat dan orang menjerit.

“Makcik terus datang sini tengok mangsa dah terbaring tengah jalan. Dia bukan orang sini katanya orang Kandis. Hari ini dia tak berniaga sebab katanya tak sihat. Tak sangka pula jadi macam ni,”katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kes berkenaan.

Beliau berkata, pemandu kenderaan Isuzu D- max itu sudah membuat laporan di balai polis jam 1 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Anak kucing yang dikatakan cuba diselamatkan Nik Yam namun berakhir dengan tragedi maut.

Sumber : Akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan 

Selasa, 20 September 2016

Dengar Bisikan Halus Sebelum Lemas Di Pantai Irama


BACHOK – Mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas petang kelmarin memaklumkan dia terdengar bisikan halus beberapa saat sebelum kejadian itu berlaku.

Mohd Faisal Mohd Noor,38,berkata, dia pada awalnya mandi seperti biasa bersama anak- anak buahnya yang lain sebelum terdengar bisikan tersebut.

Kejadian itu meragut nyawa anak sepupunya, Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16, yang baharu sahaja ditemui jam 5.38 pagi semalam.

“Masa tu kami tengah mandi ramai- ramai dan tiba- tiba kami rasa tertarik. Masa tu jugalah saya jelas dengar bisikan yang cakap ‘aku nok belako puok- puok mu’. Saya terkejut dan cuba jerit kepada anak- anak buah agar naik ke darat.

“Masa tu saya nampak Allahyarham Riz (Nik Muhammad Syahriezman) dah makin ke tengah. Saya cuba jerit minta tolong tetapi gagal. Saya buka baju untuk ringankan badan dan berenang ke arah dia tetapi saya juga makin lemah. Akhirnya saya menyerah dan apungkan diri seketika. Rasanya kalau saya terapung lebih 10 minit lagi mungkin saya pun tenggelam sama,”katanya ketika ditemui wakil Perantau Bachok, Mohd Nazri Ismail malam kelmarin.

Mohd Faisal akhirnya berjaya diselamatkan orang ramai yang menaiki jetski di kawasan tersebut, namun Nik Muhammad Syahriezman gagal diselamatkan.

Mayat Nik Muhammad Syahriezman Nik Shaharman,16,ditemui ahli keluarganya ketika gerakan mencari bersama pasukan menyelamat yang dijalankan sejak malam kelmarin.



Ragut nyawa setiap tahun.

Manakala, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kawasan pantai sedemikian mungkin mempunyai semangatnya tersendiri dan sentiasa meragut nyawa setiap tahun.

“Memang biasa setiap tahun pun ada kes mati lemas di Pantai Irama ini. Biasanya melibatkan pengunjung luar yang tak biasa dengan kawasan ni.

“Tak mustahil kalau ada sesuatu yang mistik di kawasan itu sebab waktu pun dah lewat petang. Kalau nak kata sebab paloh biasanya musim ni dah tak ada paloh. Sebab biasanya paloh ni ada lepas musim tengkujuh sahaja,”katanya kepada Sinar Harian.

Paloh ialah kawasan lohong air yang berpusar menarik sesiapa sahaja ke kawasan itu yang akan menyebabkan mangsa tertarik ke dasar laut.

Paloh lazimnya seakan riak air yang tenang (sedangkan ia dalam dan berpusar) pada pesisir pantai dan keluasannya boleh menghampiri seluas bilik darjah.



Sudah ajalnya tiba.

Manakala, Imam Tua Masjid Mahmudi Bachok, Baharin Yusoff ketika diminta mengulas mengenai isu bisikan itu pula berkata, bisikan yang didengari mangsa itu hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahuinya.

“Benda begini kita tak tahu, tak nampak, tambahan pula masa tu dah dekat Maghrib banyak iblis yang berkeliaran. Pantai pula terdedah dengan pelbagai anasir luar yang pelik- pelik.

“Kita cuma boleh katakan sudah sampai ajalnya masa itu. Kalau ikut logik memang tak bolehlah mandi di kawasan itu yang sudah ada papan tanda yang diletakkan di situ. Perkara seperti ini perlu dijadikan teladan untuk semua pengunjung agar lebih berhati- hati, tidak menjadikan kunjungan santai sebagai tragedi,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.


Ayam golek dijumpai di pesisir pantai.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa penemuan ayam golek di pesisir Pantai Irama baru- baru ini, Imam Baharin berkata, perkara seperti itu sepatutnya sudah tidak berlaku.

“Inilah yang kita takutkan. Kita bimbang perkara pemujaan dan berkaitan iblis seperti itu mengundang perkara tidak baik. Kalau ia melibatkan orang muslim ia tidak sepatutnya berlaku. Tetapi kita tak nampak siapa yang buat macam tu, jadi kita anggapkan ia bukan dilakukan orang muslim,”katanya.


Pemimpin Bachok ucap takziah.

Sementara itu, beberapa pemimpin Bachok juga sempat singgah ke lokasi berkenaan malam kelmarin. Penyelaras Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Husain dan Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin masing- masing mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.


Ayam golek yang dipercayai untuk pemujaan ditemui di pesisir Pantai Irama, dimuat naik dalam laman sosial oleh pengunjung baru- baru ini.


Sumber dari Akhbar Sinar Harian
19 September 2016

Jalan- jalan ke Terengganu siri 2 (19 September 2019)

Assalamualaikum.. Terima kasih pada yang masih sudi menjengah ke blog ayu.. Lama sungguh rasanya ayu tak memuatk naik apa2 cerita dal...